SEOUL: Syarikat pemula angkasa lepas Korea Selatan, Innospace Co., merancang melancarkan roket orbit komersial pertama negara itu minggu ini selepas tiga kali penangguhan, menurut syarikat berkenaan pada Isnin, lapor Agensi Berita Yonhap.
Roket Hanbit-Nano dijadual berlepas dari Pusat Angkasa Alcantara di Brazil pada 3.45 petang Isnin waktu tempatan, atau 3.45 pagi Selasa waktu Korea, menurut pegawai syarikat.
Hanbit-Nano akan membawa lapan muatan, termasuk lima satelit, sebelum menempatkannya ke orbit rendah pada ketinggian 300 kilometer.
Jika berjaya, Innospace akan menjadi syarikat swasta Korea Selatan pertama yang menempatkan satelit pelanggan ke orbit.
Roket dua peringkat itu menggunakan enjin hibrid berdaya tujahan 25 tan bagi menggerakkan peringkat pertama, manakala peringkat kedua disokong oleh enjin metana dan oksigen.
Pelancaran itu ditangguhkan sebanyak tiga kali sejak perancangan asal syarikat untuk melancarkannya pada 22 Nov.
Pada Jumaat, cubaan pelancaran sekali lagi ditangguhkan berikutan isu pada tangki bahan api, menyebabkan pengendali pelancaran menggantung usaha itu dan menangguhkan pelepasan roket.
Bagi pelancaran pada Selasa, Innospace memaklumkan keadaan cuaca mungkin menjadi faktor berikutan ramalan hujan. – Bernama-Yonhap



