KUCHING: Inovasi dan integriti perlu digerakkan secara seiring bagi memastikan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) terus menjadi model Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang menyampaikan perkhidmatan awam secara cekap, responsif dan diyakini rakyat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek untuk Agensi Pembangunan Wilayah, DBKU dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, seiring dengan matlamat itu, Hari Inovasi dan Integriti DBKU 2025 menjadi platform penting untuk mempamerkan pencapaian serta mendorong kecemerlangan dalam tadbir urus dan penyampaian perkhidmatan awam.
“Apabila integriti digabungkan dengan inovasi, ia akan mewujudkan ekosistem perkhidmatan awam yang bukan sahaja cekap dan responsif, malah mendapat kepercayaan rakyat.
“Inovasi tanpa integriti boleh membawa kepada penyalahgunaan, manakala integriti tanpa inovasi pula boleh menyebabkan kelambatan, kerumitan dan ketidakberkesanan.
“Hanya melalui pendekatan seimbang ini DBKU mampu mengekalkan kepercayaan rakyat dan terus melaksanakan mandat sebagai PBT yang bertanggungjawab, berinovasi serta berintegriti,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Inovasi dan Integriti DBKU 2025 di Hotel UCSI, di sini, malam tadi.
Beliau turut memuji peranan DBKU yang sentiasa mencari pendekatan baharu secara kreatif dalam pengurusan bandar, termasuk penggunaan teknologi pintar dalam pengurusan trafik, sistem pembuangan sisa yang lebih efisien serta pembangunan platform digital bagi memudahkan urusan orang ramai.
“Pendekatan inovatif ini bukan sahaja meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan, malah menambah nilai kepada pengalaman rakyat serta memastikan bandar raya Kuching kekal relevan dan kompetitif,” jelasnya.

Menurut beliau, sambutan Hari Inovasi dan Integriti DBKU turut memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada individu yang menghasilkan inovasi berimpak tinggi dalam memacu kemajuan organisasi, termasuk dari aspek teknikal, demi menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Inovasi bukan sekadar memperkenalkan teknologi baharu semata-mata. Untuk memastikan keberkesanan dan kejayaan pelaksanaannya, ia perlu bermula dengan pemikiran baharu, keberanian untuk mencuba serta kesediaan meninggalkan kebiasaan yang tidak lagi relevan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Abdul Rahman turut menekankan integriti sebagai asas utama bagi memastikan setiap tindakan dan keputusan DBKU sentiasa telus, adil dan bertanggungjawab, dengan mengekalkan standard integriti yang tinggi di setiap peringkat pengurusan.
“Usaha ini bermula daripada pengurusan tertinggi, perancangan dasar, pelaksanaan projek, peruntukan sumber sehinggalah kepada interaksi harian dengan masyarakat agar sentiasa bebas daripada konflik kepentingan serta mengutamakan kepentingan awam.
“Integriti bukan sahaja melibatkan kejujuran dalam tindakan, tetapi juga keberanian untuk membuat keputusan yang tepat walaupun ia sukar atau tidak popular,” katanya.
Beliau turut menghargai pencapaian DBKU yang bukan sahaja cemerlang di peringkat tempatan, malah menerima pengiktirafan di peringkat antarabangsa, sekali gus membuktikan keupayaannya menyediakan perkhidmatan bandar raya bertaraf dunia yang memenuhi piawaian global.
“Pencapaian ini membuktikan DBKU bukan sekadar melaksanakan tugas rutin, sebaliknya terus bergerak ke hadapan sebagai organisasi progresif yang selari dengan tuntutan semasa.
“Melalui peranan strategik DBKU dalam perancangan bandar, pengurusan perkhidmatan awam dan pembangunan infrastruktur, DBKU menyumbang secara langsung kepada pencapaian visi Kerajaan Sarawak dalam membentuk bandar pintar yang inklusif dan mesra rakyat,” katanya.

