KUCHING: Inovasi yang diperkenalkan Jabatan Hutan Sarawak (JHS) perlu memberi impak nyata terutama sekali dalam meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan sekali gus mengurangkan kos.
Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR), Datuk Abdullah Julaihi berkata, langkah itu penting kerana inovasi sepatutnya memudahkan proses dan memberi impak jangka panjang.

“Inovasi sepatutnya mempercepatkan, contohnya kalau dahulu kita perlu ada 20 proses, sekarang menjadi dua. Kalau dahulu dua bulan, sekarang ini dua jam.
“Selain itu, inovasi juga sepatutnya mengurangkan kos. Kalau dahulu kita berbelanja RM1 juta, sekarang kita belanja RM100,000,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena perasmian Program Bulan Inovasi JHS bertemakan Daripada Idea Kepada Impak (From Ideas to Impact) di Hotel 56, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Abdullah menambah, tema berkenaan turut membawa cabaran kepada pemimpin dan pengurus dalam mentadbir kerja harian seterusnya mendorong kepada penghasilan inovasi yang memberi impak bukan sahaja kepada jabatan, tetapi juga pihak lain.
Menurutnya, budaya inovasi merupakan satu bentuk komunikasi dalam kalangan warga kerja menerusi cadangan yang dikemukakan dengan keyakinan untuk menambah baik perkhidmatan.
Justeru, katanya, usaha tersebut perlu menjadikan tempoh pemprosesan lebih cepat, mengurangkan kos serta meluaskan impak, bukan sahaja kepada JHS tetapi juga jabatan lain dan orang awam yang menerima perkhidmatan.
“Sokongan inovasi ini diterjemahkan kepada peluang untuk kita mencuba kerana apa yang dikatakan inovasi adalah idea yang kita terjemahkan kepada amalan dan dinilai serta memberi impak.
“Kita juga jangan takut untuk mencuba kerana dengan mencuba itulah komitmen yang kita terapkan di dalam diri akan membawa kepada pencapaian yang lebih besar,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, kerjasama dalam kalangan warga JHS penting bagi mengukuhkan budaya inovasi, termasuk menerusi perkongsian pengetahuan dan amalan terbaik dengan jabatan serta agensi lain di bawah kementerian.
“Usaha tersebut bukan sahaja dapat menggalakkan inovasi dalam JHS, malah membuka ruang kepada jabatan dan agensi lain untuk saling bertukar pengetahuan serta melaksanakan amalan yang sesuai dengan keperluan masing-masing.
“Jadi, saya berharap dengan bulan inovasi ini akan memberi kesempatan kepada kita bukan sahaja berinovasi, tetapi juga berkomunikasi kerana saya difahamkan tidak kurang daripada 200 orang yang akan terlibat dan pada hari ini (6 Oktober) mungkin ada 100 lebih orang yang berada di dewan ini dengan pengamalan masing-masing,” jelasnya.
Sehubungan itu, beliau turut mengingatkan warga JHS supaya tidak bersikap terlalu defensif terhadap aduan, sebaliknya menjadikannya sebagai sumber idea untuk penambahbaikan.
“Jangan takut kepada komplen, kerana komplen itulah yang memberi idea kepada kita untuk berinovasi. Jangan terlalu defensif dengan komplen. Kerana dengan membuka hati, minda, anda akan berinovasi untuk membuat sesuatu yang lebih baik,” tegasnya.


