ARTIKEL

Hamden (dua kiri) menyampaikan cenderahati kepada Setiausaha Tetap Kementerian Sumber Asli dan Pembangunan Bandar (MUDeNR), Datuk Abdullah Julaihi sambil disaksikan tetamu kehormat yang lain sempena Program Bulan Inovasi JHS di Hotel 56, di sini, hari ini.

Inovasi JHS raih pengiktirafan antarabangsa

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (JHS) terus memperkukuh usaha restorasi hutan menerusi evolusi teknologi termasuk di bawah Kempen Penghijauan Sarawak yang berkembang secara berperingkat daripada kaedah konvensional kepada pendekatan berteknologi.

Pengarah Hutan Sarawak, Datuk Hamden Mohammad berkata, pendekatan tersebut juga berkembang daripada pembekalan bahan tanaman spesies asli dan pengeboman benih (seed bombing) kepada penggunaan Seedball Blaster, penyemaian menggunakan dron dan kini TerraSphere (Teknologi Pemulihan Ekosistem Bersepadu).

Hamden ketika berucap.

Katanya, perjalanan itu turut membawa pelbagai pengiktirafan, termasuk pingat emas ICQCC 2023 di Beijing, Anugerah Kelestarian Alam Sekitar (DEA 2025), pingat emas Ekspo Teknologi Malaysia 2026 dan pengiktirafan Pertubuhan Hijau Tahun 2025 melalui projek Kempen Penghijauan Sarawak (Pemulihan Landskap Hutan: Menerajui Transformasi Hijau Malaysia).

“Ini adalah beberapa idea yang telah diperbaiki dari satu versi ke versi seterusnya, dan setiap versi membina asas untuk skala yang lebih besar,” katanya ketika berucap pada perasmian Program Bulan Inovasi JHS di Hotel 56, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, tambahnya, JHS turut menggunakan integrasi Kenderaan Udara Tanpa Pemandu (UAV) dan teknologi Light Detection and Ranging (LiDAR) bagi menilai stok karbon hutan Sarawak, yang memenangi pingat emas serta Anugerah Khas Majlis Penyelidikan Kebangsaan Thailand pada tahun ini.

Menurut Hamden, penggunaan teknologi juga menuntut peningkatan kemahiran dalam kalangan pegawai, manakala penggunaan dron, LiDAR, analitik data, automasi serta kecerdasan buatan (AI) memerlukan pegawai yang memahami operasi lapangan sekali gus mampu menilai data secara bertanggungjawab.

“Teknologi ialah alat untuk memperkukuh pertimbangan profesional, bukannya menggantikan akauntabiliti pegawai. Oleh itu, pembelajaran berterusan, perkongsian kepakaran dan pemindahan pengetahuan perlu menjadi sebahagian daripada pelaksanaan setiap inovasi,” ujarnya.

Beliau berkata inovasi merupakan tanggungjawab semua warga JHS, dengan setiap bahagian, unit dan Pejabat Hutan Wilayah perlu melihat masalah kerja harian sebagai ruang untuk penambahbaikan serta menjadikan inovasi sebahagian daripada cara bekerja setiap hari, bukan hanya ketika pertandingan diadakan.

“Saya menyeru supaya setiap cadangan dimulakan dengan masalah yang jelas. Tetapkan keadaan semasa, uji penyelesaian pada skala yang sesuai dan ukur perubahannya.

“Kita perlu berani mencuba, tetapi keberanian itu hendaklah disokong oleh data, pengiraan dan pertimbangan yang rasional. Jika terbukti berkesan, kita perluas penggunaannya. Jika hasilnya belum mencapai sasaran, kita perbaiki berdasarkan bukti.

“Inovasi yang berpotensi perlu didokumentasikan dengan baik, dilindungi sebagai harta intelek apabila sesuai, dan disediakan untuk diguna pakai di bahagian atau wilayah lain. Dengan cara ini, pengetahuan tidak terhenti pada sesebuah pasukan, dan faedah inovasi dapat dinikmati dengan lebih meluas,” jelasnya.

Mengenai Bulan Inovasi JHS 2026, Hamden menyatakan program tersebut merupakan sokongan JHS kepada Bulan Inovasi Perkhidmatan Awam Sarawak 2026.

Menurutnya lagi, tema ‘Daripada Idea Kepada Impak’ (From Ideas to Impact) menuntut inovasi dilihat daripada sudut yang praktikal, dengan idea yang baik perlu diuji, digunakan dan dinilai kesannya sebelum diterjemahkan kepada hasil yang boleh diukur.

“Bagi JHS, kesan tersebut dapat dilihat dalam penyelesaian masalah operasi dan kerja harian, melalui proses yang lebih cekap dengan bantuan teknologi pendigitalan, data yang lebih tepat dan masa sebenar (real time), pengurusan hutan secara lestari, penguatkuasaan yang lebih berkesan serta penyelidikan bidang perhutanan berimpak tinggi.

“Pendekatan ini selaras dengan hala tuju Kerajaan Sarawak melalui fasa kedua Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030), serta Rancangan Malaysia Ke-13 Sarawak. Kedua-duanya memberikan penekanan kepada pengurusan berasaskan hasil, pemantauan hasil secara sistematik, kelestarian alam sekitar dan manfaat yang nyata kepada rakyat,” tegasnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU