ARTIKEL

Inovasi pendidikan awal kanak-kanak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak (Swinburne Sarawak) bakal memulakan pengambilan pelajar untuk program Diploma Pendidikan Awal Kanak-Kanak (DECE) awal September depan.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Masyarakat Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, ia merupakan satu langkah baik kerana dapat membantu meningkatkan lagi kualiti pendidikan awal kanak-kanak di Sarawak.

“Selain menitikberatkan pengambilan, pengetahuan kandungan pendidikan juga menjadi keutamaan kita kerana ia sangat penting untuk mendidik anak-anak di peringkat awal usia.

“Justeru, kita mahu menggalakkan inovasi dalam pendidikan awal kanakkanak melibatkan prasekolah, taska serta tadika di dalam pengajaran dan pembelajaran,” katanya ketika berucap, dan menyempurnakan Majlis Pelancaran Program DECE di Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak, di sini, semalam.

Tambahnya, kandungan program diploma yang ditawarkan oleh universiti itu bukan sahaja memasukkan kurikulum peringkat kebangsaan tetapi juga antarabangsa.

“Penawaran diploma sama ada untuk pelajar tempatan atau luar Sarawak akan memenuhi semua jaminan kualiti yang diperlukan supaya pelajar yang mengambil diploma ini, boleh bekerja di luar negara.

“Ini adalah sesuatu perkara yang berbeza ditawarkan oleh Swinburne, kerana pelajar juga mempunyai peluang yang luas dalam kerjaya mereka nanti,” ujarnya.

Sementara itu, Pro Naib Canselor dan Ketua Pegawai Eksekutif Swinburne Sarawak, Professor Lau Hieng Ho berkata, pihaknya berbesar hati menyokong matlamat kementerian tersebut untuk meningkatkan kualiti pendidikan awal kanak-kanak di negeri ini.

“Ia sejajar dengan fokus Swinburne terhadap industri dan penglibatan komuniti serta menawarkan program inovatif untuk mengubah masyarakat tempatan,” jelasnya.

Mengenai program diploma itu, Lau memaklumkan tempoh pengajian adalah dua tahun setengah merangkumi dua praktium dalam persekitaran taska dan tadika.

“Pelajar juga akan mengalami pendidikan berkualiti tinggi dan diiktiraf di peringkat antarabangsa kerana universiti ini telah memasukkan kurikulum pendidikan awal kanakkanak tercanggih Australia ke dalam konteks Sarawak,” jelasnya.

Di samping itu, beliau juga percaya Swinburne Sarawak memainkan peranan penting dalam memperjuangkan pengiktirafan dan penghargaan terhadap sumbangan guru pendidikan awal kanak-kanak yang tidak ternilai.

“Sudah tiba masanya untuk kita beralih daripada persepsi lama terhadap golongan guru ini dan benar-benar menghargai peranan kritikal mereka dalam membentuk asas masyarakat kita,” katanya.

Setiausaha Tetap KPWK Noriah Ahmad dan Ketua Bahagian Pembangunan Awal Kanak-Kanak KPWK, Salina Bujang turut hadir.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU