LIMBANG: Sarawak Energy Berhad (Sarawak Energy) mengesahkan berlaku satu insiden maut melibatkan orang awam di Medamit, Limbang hari ini, yang berkaitan dengan kerja-kerja kontraktor bagi projek talian penghantaran Medamit–Limbang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan syarikat utiliti itu, mereka amat berdukacita dengan kejadian berkenaan dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga serta orang tersayang mangsa yang terlibat dalam tragedi tersebut.
“Sarawak Energy amat sedih dengan kejadian ini dan menyampaikan ucapan takziah setulus hati kepada keluarga mangsa.
“Kita memohon agar orang ramai menghormati privasi keluarga serta tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih memandangkan insiden ini sedang dalam siasatan pihak berkuasa,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu lagi, keselamatan kekal sebagai keutamaan utama syarikat, dan satu pasukan telah digerakkan ke lokasi kejadian bagi tujuan pemantauan dan siasatan lanjut.
“Sarawak Energy memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa dalam siasatan insiden ini,” katanya.
Projek talian penghantaran Medamit–Limbang merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Sarawak Energy dalam mempertingkatkan sistem bekalan tenaga di kawasan utara Sarawak.




