Nama Syafira kini meniti di bibir para peminat dunia peragaan Sarawak apabila dua anak didiknya, Joana Jane dan Fellicia Pamella, berjaya merangkul gelaran utama dalam pertandingan Miss Tasik Biru dan Mrs Tasik Biru yang berlangsung di Bau baru-baru ini.
Dikenali sebagai jurulatih pentas peragaan yang penuh karisma dan disiplin tinggi, Syafira, atau nama sebenarnya Nur Qamarina Syafira Syaiful Azrie, bukan sekadar mengajar teknik berjalan di pentas, malah menjadi inspirasi serta tulang belakang kepada kejayaan dua ratu berkenaan.
Kedua-duanya menerima latihan intensif dan sokongan emosi daripada beliau, satu kombinasi yang terbukti membawa pulang kejayaan gemilang.
Menariknya, Syafira sendiri bukan calang-calang individu dalam dunia peragaan kerana beliau merupakan juara utama I Am Model Search International 2024, sekali gus memperkukuh kredibilitinya sebagai jurulatih muda yang mampu melahirkan bintang baharu.
“Latihan saya bukan hanya fokus pada gaya berjalan atau pemilihan busana.
Saya mahu mereka tahu nilai diri, yakin dengan kelebihan masingmasing dan berani bersinar di pentas,” ujar Syafira sewaktu ditemui selepas pertandingan.
Pertandingan yang berlangsung meriah di Tasik Biru itu menyaksikan keanggunan dan keyakinan peserta diadili bukan hanya dari aspek penampilan, tetapi juga daripada cara mereka membawa diri dan menjawab soalan juri.
Aspek ini turut ditekankan oleh Syafira dalam sesi latihannya.
Bukan sekadar mengajar, Syafira turut terlibat secara langsung dalam persiapan lengkap peserta termasuk pemilihan pakaian, gaya rambut, pengurusan emosi dan pembinaan ketahanan mental, iaitu elemen yang sering terlepas pandang dalam dunia ratu cantik.
Kejayaan kedua-dua ratu ini membuktikan bahawa bakat dan keyakinan diri boleh diasah dengan bimbingan yang tepat.
Lebih membanggakan, ia juga meletakkan nama Syafira sebagai antara jurulatih muda paling berpengaruh dalam dunia peragaan di Sarawak.
Dengan pencapaian ini, Syafira bukan sahaja membuka mata ramai tentang pentingnya peranan di balik tabir, tetapi juga menjadi simbol kepada generasi baharu bahawa, dengan kerja keras dan dedikasi, kejayaan bukan sekadar impian.
Syafi ra kini bersedia untuk terus membimbing lebih ramai bakat baharu dan mengangkat industri peragaan tempatan ke peringkat yang lebih tinggi.
Dunia ratu cantik Sarawak, nampaknya, sudah mempunyai nama baharu yang harus diberi perhatian.



