ISTANBUL: Meta mengumumkan peluasan teknologi anggaran umur berasaskan kecerdasan buatan (AI) di seluruh dunia supaya lebih ramai pengguna Instagram dilindungi menerusi ciri Akaun Remaja (Teen Accounts).
Teknologi itu didakwa mampu mengesan pengguna yang disyaki remaja walaupun mereka mendaftar dengan tarikh lahir yang menunjukkan mereka sudah dewasa seperti dilapor Bernama.
Akaun yang dikenal pasti milik remaja akan menerima perlindungan sesuai dengan umur secara automatik, selain dikenakan had terhadap siapa yang boleh menghubungi mereka, kandungan yang boleh diakses dan tempoh penggunaan.
Susulan komitmen dalam perjanjian dengan 52 peguam negara dari negeri dan wilayah Amerika Syarikat (AS), termasuk Daerah Columbia, teknologi itu turut diperkenalkan secara berperingkat di Facebook dan dirancang untuk Threads di peringkat global menjelang akhir tahun ini.
Meta turut menggesa platform pesaing seperti TikTok dan YouTube melaksanakan langkah serupa kerana perlindungan yang konsisten merentas media sosial dianggap penting.






