ARTIKEL

Sekitar rakaman kenangan semasa Seminar Pengurusan Hal-Ehwal Keluarga Islam anjuran Persatuan Ketua Masyarakat Melayu Bahagian Kuching (PKMBK) di Masjid Darul Ibadah, RPR Fasa 1, Batu Kawa, di sini, semalam.

Institusi keluarga kukuh asas masyarakat sejahtera

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Institusi keluarga yang kukuh merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang stabil, berakhlak dan sejahtera, kata Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Ahmad Ibrahim.

Menurutnya, dalam era yang dipengaruhi oleh kemajuan teknologi, media sosial, tekanan ekonomi serta perubahan gaya hidup, institusi keluarga berhadapan dengan pelbagai cabaran baharu yang memerlukan perhatian dan pendekatan lebih menyeluruh.

“Pengurusan hal ehwal keluarga Islam hari ini bukan lagi hanya berkisar tentang perkahwinan atau pengurusan rumah tangga semata-mata, tetapi juga melibatkan aspek pendidikan, kewangan, kesihatan, kebajikan, pembangunan insan serta pembentukan nilai dan sahsiah dalam kalangan ahli keluarga,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi kenyataan sempena perasmian penangguhan Seminar Pengurusan Hal-Ehwal Keluarga Islam anjuran Persatuan Ketua Masyarakat Melayu Bahagian Kuching (PKMBK) di Masjid Darul Ibadah, RPR Fasa 1, Batu Kawa, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, tambahnya, keluarga yang dibina atas asas agama, kasih sayang, tanggungjawab dan saling menghormati akan melahirkan generasi yang berdisiplin, berintegriti serta mampu menyumbang kepada pembangunan negeri dan negara.

Dalam pada itu, beliau juga mengingatkan bahawa ibu bapa, datuk dan nenek, pemimpin masyarakat serta seluruh komuniti memikul amanah besar dalam membimbing generasi muda agar mempunyai pegangan agama yang kukuh, akhlak yang baik serta rasa tanggungjawab terhadap keluarga dan masyarakat.

Menurut beliau, usaha meningkatkan kesedaran, pendidikan dan bimbingan secara berterusan merupakan pendekatan terbaik dalam mencegah pelbagai masalah sosial yang semakin kompleks.

“Saya berharap seminar seumpama ini dapat diteruskan secara berkala dan diperluaskan ke lebih banyak kampung, masjid, surau dan komuniti di seluruh Bahagian Kuching,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa keharmonian yang dinikmati Sarawak selama ini lahir daripada keluarga yang mendidik anak-anak menghormati kepelbagaian kaum, agama dan budaya serta mengamalkan nilai kasih sayang, toleransi dan saling menghormati.

“Marilah kita bersama-sama memastikan generasi akan datang mewarisi sebuah Sarawak yang bukan sahaja maju dari segi ekonomi dan pembangunan fizikal, tetapi juga kaya dengan nilai murni, akhlak yang baik serta pegangan agama yang kukuh,” jelasnya.

Pada masa sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada PKMBK atas usaha menganjurkan seminar yang disifatkannya sebagai amat relevan dalam memperkukuhkan institusi keluarga Islam di peringkat komuniti.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada para penceramah daripada Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) dan Baitulmal Sarawak yang telah berkongsi ilmu serta pengalaman bagi membantu peserta memahami cabaran pengurusan keluarga dalam dunia moden.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU