ARTIKEL

Institusi koperasi kekal stabil

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SHAH ALAM: Institusi koperasi di Malaysia setakat ini dilihat kekal stabil dan tidak terjejas secara serius meskipun berdepan tekanan krisis bekalan global yang turut memberi kesan kepada sektor ekonomi negara.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) Datuk Mohamad Alamin berkata bagaimanapun pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan mendapatkan laporan terperinci bagi memastikan sebarang isu dapat ditangani segera.

“Setakat ini saya belum dengar ada yang terjejas teruk dalam kalangan koperasi, namun kita akan dapatkan laporan dalam masa terdekat dan pastikan bantuan disalurkan kepada usahawan yang memerlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Perasmian Kursus Kerjaya dan Keusahawanan Pelajar Pembiayaan Pendidikan Yayasan ANGKASA Sesi 2026 di Hotel Wyndham Garden i-City, malam semalam.

Turut hadir Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) merangkap Pengerusi Yayasan ANGKASA Datuk Seri Dr Abdul Fattah Abdullah dan Ketua Pengarah Institut Koperasi Malaysia (IKMa) Datuk Mohd Ali Mansor.

Mohamad berkata dalam mendepani krisis tenaga global, pihaknya juga akan mengambil langkah proaktif bagi membantu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) serta koperasi menghadapi cabaran ekonomi semasa termasuk penstrukturan semula pinjaman moratorium serta pelbagai program sokongan melalui agensi seperti Bank Rakyat.

Sementara itu, mengenai perasmian kursus berkenaan, Mohamad berkata program pengurusan dan bimbingan kerjaya menghimpunkan graduan daripada pelbagai bidang itu amat penting dalam membangunkan modal insan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang masingmasing, malah mempunyai kefahaman dan kemahiran dalam sektor koperasi.

“Saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada ANGKASA atas inisiatif hari ini bersama-sama IKMa yang telah menjayakan kursus ini.

“Selepas ini, kita akan adakan pula di Sabah dan Sarawak untuk melibatkan anak-anak koperasi melalui pelbagai kursus lanjutan, memandangkan ini mungkin kursus peringkat asas,” katanya.

Kursus berkenaan disertai oleh 90 pelajar tahun akhir di bawah pembiayaan pendidikan Yayasan ANGKASA dari seluruh negara dan program itu merupakan inisiatif tahunan yang bertujuan memberikan pendedahan menyeluruh mengenai pengurusan koperasi, keusahawanan serta persediaan kerjaya sebelum para peserta melangkah ke alam pekerjaan.

Melalui kerjasama dengan IKMa, kursus itu dirangka secara komprehensif merangkumi pensijilan pengurusan koperasi, pembangunan kemahiran insaniah serta pemikiran keusahawanan, selain pengisian baharu seperti sesi Voice of Future Leaders yang membolehkan pelajar berinteraksi secara langsung dengan kepimpinan tertinggi koperasi serta mendapatkan pandangan industri.

Sejak diperkenalkan, dari tahun 2000 hingga 2026, seramai 2,095 pelajar telah ditaja menyertai program itu dengan jumlah dana mencecah RM37.5 juta sebagai usaha berterusan dalam melahirkan generasi muda koperasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki kemahiran praktikal, kepimpinan dan daya keusahawanan. – Bernama

BERITA LAIN

Perkukuh daya tahan ekonomi

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2027 bertujuan memperkukuh daya tahan ekonomi Malaysia, menyokong perubahan industri dan meningkatkan pembangunan tenaga kerja dalam sektor sarung tangan getah, kata Persatuan

Industri minyak dan gas perluas operasi

KUALA LUMPUR: Industri perkhidmatan serta peralatan minyak dan gas (OGSE) Malaysia di landasan tepat bagi fasa pertumbuhan selanjutnya dan perlu terus memperluas skala operasi, inovasi

BERITA TERBARU

KCFC, KITCHEE TERIKAT 1-1 BABAK PERTAMA

KUCHING: Kuching City FC (KCFC) dan Kitchee SC terikat 1-1 selepas tamat babak pertama aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) di Stadium Taha