SKUAD sepak takraw lelaki negara enggan meratapi kekalahan kepada Thailand dalam final acara regu berpasukan pada Sukan Asia Hangzhou 2022 di Pusat Sukan Gimnasium Jinhua, Jumaat lalu.
Tekong negara Mohammad Syahir Mohd Rosdi berkata kekecewaan itu perlu diterjemahkan menjadi satu semangat bagi meneruskan perjuangan Malaysia dalam mempertahankan pingat emas acara antara regu yang bermula Khamis nanti.
Katanya pasukan negara mula menemui rentak permainan biarpun tewas pada final selepas lebih bergelut dalam aksi peringkat awal, sekali gus optimis momentum positif itu dapat diteruskan.
“Perjuangan kami tak habis lagi, kami tidak akan putus asa, macam mana pun kami akan cuba dapatkan pingat emas dalam acara antara regu nanti,” katanya yang membuat penampilan ketiga berturut-turut pada Sukan Asia sejak edisi 2014 di Incheon, Korea Selatan.
Sementara itu, apit kanan Mohamad Azlan Alias yang meraih penampilan kedua berkata: “Kami akan tampil dengan aksi yang lebih baik dalam acara antara regu,”.
Diundi dalam Kumpulan A, Malaysia akan dicabar Vietnam dan Singapura dalam laluan ke separuh akhir. Sementara Thailand yang tidak menghantar penyertaan dalam acara itu pada edisi lepas di Jakarta-Palembang, Indonesia lima tahun lalu, diundi bersama India, Filipina dan Myanmar dalam Kumpulan B.
Pada final regu berpasukan Jumaat lalu, Thailand menewaskan Malaysia 2-0 untuk meneruskan dominasi 25 tahun mereka selepas meraih emas buat kali ketujuh berturutturut dalam acara sama sejak edisi 1998 di Bangkok.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia mengulangi pencapaian perak yang diraih edisi lepas.
Menurut jurulatih Malaysia, Ahmad Jais Baharun, anak-anak buahnya melakukan beberapa kesilapan mudah, di samping gagal menangani asakan Thailand.
“Lihat sahaja kedua-dua regu Malaysia. Regu pertama kalah, mungkin kerana kekurangan pengalaman.
“Manakala regu kedua, Thailand kelihatan lebih yakin berbanding pemain kita.
Malah mereka juga jarang melakukan kesilapan mudah, dan ia memberi kelebihan kepada mereka,” jelasnya.
Namun beliau mahu anak-anak buahnya bangkit dalam acara regu.

