KUCHING: “Tanpa integriti, kejayaan yang dibina ibarat bangunan kukuh di luar tetapi rapuh di dalam, yang akhirnya boleh runtuh dalam sekelip mata,”tegas Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Murshid Diraja Dr Juanda Jaya.
Beliau berkata, integriti adalah asas kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan dan kunci utama menjamin kemakmuran negeri.
Justeru, integriti bukan sekadar menjaga imej peribadi dan institusi, tetapi benteng utama kesejahteraan masyarakat serta pembangunan negeri untuk jangka panjang,” katanya ketika merasmikan penutupan Pertandingan Forum Integriti Piala Premier Sarawak 2025, di sini, hari ini.
Tambah beliau, Kerajaan Sarawak memberi penekanan tinggi terhadap agenda integriti menerusi dasar dan strategi yang dilaksanakan termasuk Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030).
Menjelas lanjut, Juanda berkata, pendedahan awal kepada generasi muda khususnya mahasiswa tentang nilai integriti amat penting agar kejayaan yang dikecapi hari ini dapat dipertahankan dan diwarisi generasi akan datang.
Selain itu, beliau turut menyifatkan pertandingan forum anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Sarawak itu sebagai wadah penting melatih mahasiswa berhujah secara kritis, beradab dan berkeyakinan.
Dalam acara sama, tujuh institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta telah menerima hadiah sagu hati, masing-masing membawa pulang wang tunai RM1,500, buku terbitan DBP dan sijil.
Antaranya, Institusi Pendidikan Guru (IPG) Kampus Batu Lintang, Politeknik Kuching, Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), diikuti dengan Universiti teknologi Mara (UiTM) Cawangan Sarawak, Politeknik METro Betong, Kolej SEGI Sarawak dan juga Sarawak Skills.
Manakala pemenang bagi tempat pertama hingga tempat ketiga akan diumumkan pada Sambutan Hari Integriti Sarawak (HIS) 2025 pada 28 Ogos ini bertempat di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK).

