KUCHING: Hari Integriti dan Inovasi merupakan acara penting yang perlu diambil berat bagi memperkukuh nilai integriti serta membanteras rasuah dan salah guna kuasa dalam sesebuah organisasi, kata Datuk Dr Juanda Jaya.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier (Integriti dan Ombudsman) itu berkata, usaha memperkukuh integriti merupakan asas kepada pembangunan negeri, sejajar dengan aspirasi pimpinan tertinggi negara dan negeri.
“Amalan ini mesti diterapkan dalam setiap tindakan dan keputusan yang kita lakukan. Ia adalah amanah yang perlu dijaga sepanjang masa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Hari Integriti dan Inovasi di Auditorium Pustaka Negeri Sarawak, di sini hari ini.
Menyentuh tentang inovasi, Juanda berkata dunia kini bergerak terlalu pantas, terutamanya selepas kemunculan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang telah mengubah cara manusia bekerja dan berfikir.
“Inovasi bukan lagi satu pilihan tetapi satu keperluan. Ramai pekerjaan akan berubah akibat kemajuan teknologi,” ujarnya.
Dr Juanda turut menekankan sekiranya inovasi digerakkan ke arah kebaikan, hasilnya akan membawa manfaat besar kepada masyarakat.
“Namun, jika disalahgunakan, ia boleh menjejaskan sistem dan menimbulkan ketidaktelusan,” tegas beliau.

