BAU: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau sedang mengesan seorang lelaki yang di bawah Orang Pengawasan Polis (OPP) kerana dipercayai melarikan diri.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata semasa pemeriksaan dibuat terhadap fail OPP pada 26 September lalu, pihaknya mendapati suspek berusia 30 tahun itu telah gagal melapor diri seperti yang ditetapkan.
“Pemeriksaan lanjut di kediaman OPP mendapati suspek tiada di tempat berkenaan dan dipercayai telah melarikan diri,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, beliau berkata satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 15(2)(e) Akta Pencegahan Jenayah 1959.
Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai suspek boleh menghubungi Asp Francis di talian 012-7100711.
Sementara dalam kes berasingan, Mohd Haide berkata seorang lelaki ditahan kerana didapati positif dadah.
Katanya suspek berusia 35 tahun itu yang bekerja sebagai kelindan lori dikesan positif dadah melalui saringan air kencing yang dijalankan kira-kira jam 2.30 petang semalam.
Justeru, beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.




