IPD Daro dan Matu uzur, perlu perhatian – Safiee

KUCHING: Kerajaan Persekutuan perlu memberi tumpuan terhadap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Daro – Matu yang kini semakin uzur.

Safiee Ahmad (GPS-Daro) menegaskan, persekitaran tempat kerja tidak kondusif itu menyebabkan keadaan Ibu Pejabat Polis Daro dan Matu, tidak selari dengan pembangunan di daerah berkenaan.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan Kerajaan Persekutuan memberi perhatian di samping menyediakan dana bagi membina bangunan ibu pejabat Polis yang baharu.

“Selain pertambahan jumlah penduduk, usaha ini amat penting selaras dengan perubahan Daro dan Matu yang semakin membangun.

Saya mengemukakan usul ini kerana mahu menyediakan persekitaran tempat kerja yang lebih selamat dan selesa kepada Polis sebagai pelindung keselamatan penduduk setempat,” katanya dalam sesi perbahasan Belanjawan Sarawak 2020 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-18 hari ini.

Safiee juga berharap projek Rumah Mampu Milik (Perumahan Spektra Permata diperluaskan ke Daerah Daro supaya kemudahan itu dapat dinikmati masyarakat pedalaman dan luar bandar.

“Salah satu perkara yang diberi tumpuan dalam belanjawan baru-baru ini ialah menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat khususnya bagi yang berpendapatan rendah.

Sehubungan itu, saya berharap projek ini juga disediakan di kawasan saya,” katanya.

Beliau menjelaskan, setakat ini, kerajaan meluluskan enam Skim Pembesaran Kampung (SPK) di Daro.

“ Skim Pembesaran Kampung Badong Fasa I ditawarkan kepada pemohon yang berjaya. Oleh itu, saya ingin memohon kepada pihak Perbadanan Pembangunan Perumahan Sarawak (HDC) untuk melaksanakan projek perumahan SPEKTRA PERMATA seperti yang diluluskan secara prinsipnya oleh Ketua Menteri ketika lawatan rasmi ke Daerah Daro pada 16 Julai 2017,” ujarnya.

Suara Sarawak