IPU di Sri Aman bertambah baik

BETONG: Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Sri Aman dilaporkan semakin menurun (bertambah baik) apabila bacaannya mula berada pada paras 200 sekitar 9:00 pagi tadi.

Berdasarkan bacaan terkini di paparan lawan sesawang http://apims.doe.gov.my, keadaan bertambah baik sejam berikutnya iaitu 10:00 pagi dengan bacaan IPU 195.

Pada 11:00 pagi pula, bacaan IPU direkodkan 192.

Walau bagaimanapun, bacaan tersebut masih menunjukkan keadaan udara yang tidak sihat.

Pemantauan rambang di beberapa kawasan mendapati jerebu di ruang udara masih agak tebal.

Bacaan IPU di tempat-tempat lain turut menunjukkan penurunan.

Di Kuching, bacaan IPU terkini dicatatkan 144, sementara Samarahan 121 serta kawasan-kawasan lain di Sarawak berada pada paras sederhana.

Kebanyakan aktiviti harian penduduk di kawasan ini masih berlangsung seperti biasa.

Cuma difahamkan 53 sekolah di bawah seliaan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Betong bertindak menutup sekolah masing-masing.

Namun, ia tidak melibatkan pelajar yang menduduki peperiksaan awam dan kertas percubaan.

Pihak pejabat ketika dihubungi memberitahu, pengetua dan guru besar sudah dinasihatkan untuk bertindak seperti mana Surat Siaran KPM Bilangan 1 2019: langkah-langkah KPM bagi menjamin kesihatan dan keselamatan murid-murid di sekolah yang berada dalam kawasan berjerebu yang dianggap kritikal.

Orang ramai terus dinasihatkan untuk menghadkan aktiviti luar sekiranya bacaan IPU masih berada keadaan tidak sihat.

Suara Sarawak