PELAKON Iqram Dinzly, 45, mengakui mempunyai rasa takut dan trauma untuk mendirikan rumah tangga.
Katanya, perkara itu disebabkan persekitarannya yang lebih banyak memaparkan pengalaman ngeri berbanding kebahagiaan dalam sesebuah institusi kekeluargaan.
“Ada kalanya saya terfikir dan berasa takut untuk berkahwin kerana sering melihat realiti di sebalik sesebuah rumah tangga.
“Saya sering melihat pengalaman kehidupan rakan-rakan, saudara-mara dan adik-beradik sendiri. Saya menyedari di sebalik kemanisan dan kebahagiaan yang dipaparkan, terdapat juga keburukan yang tersembunyi.
“Ada pasangan yang romantik sebelum tidur, tetapi apabila berlaku pergaduhan, segala kemesraan itu hilang dan berakhir dengan perceraian,” katanya.
Katanya, perkara sedemikian membuatkannya berasa sedikit trauma dan belum bersedia untuk menempuh alam rumah tangga setakat ini.
“Perkara sebeginilah yang membuatkan saya berasa trauma dan takut untuk melangkah ke alam perkahwinan,” katanya ketika berucap menerusi rancangan temu bual audio siar bersama-sama pendakwah bebas, Iddin Ramli, baru-baru ini.
Dalam perkembangan sama, Iqram menyifatkan hubungan perkahwinan masa ini turut berubah apabila kebanyakan lelaki tidak menunjukkan ciri sebenar mereka.
“Orang selalu mengatakan berkahwin boleh memberi kebahagiaan dalam hidup, tetapi apabila saya perhatikan, ada suami yang perlu melaporkan segala hal kepada isteri, yang pada pandangan saya bukan ciri lelaki sebenar.
“Saya rasa kebanyakan lelaki nampak lebih lemah berbanding wanita. Suami lebih takut dan terlalu mengikut isteri. Hal ini membuatkan saya keliru.
“Jadi, saya berfikir, apabila berkahwin, adakah suami perlu tunduk kepada isteri? Saya tidak menyukai perkara itu. Bagi saya, tiada istilah mengawal, tetapi jika saling bekerjasama, itu adalah betul,” katanya lagi.
Biarpun rasa takut lebih kuat menyelubungi diri, keadaan itu tidak menghalang Iqram untuk mempunyai keinginan memiliki seorang isteri.
“Saya ada menyimpan ruang untuk menerima seorang isteri, tetapi pada masa sama saya tidak mahu isteri mengawal suami.
“Pesanan saya kepada semua suami, anda ialah seorang khalifah. Sedarlah akan tanggungjawab itu,” katanya.



