ARTIKEL

Iskandar Turkee serah bantuan kepada sukarelawan Jepak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: Demi memastikan kelancaran urusan pengebumian, khususnya pada waktu malam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee melalui Pusat Khidmat DUN 67 Jepak tampil menyampaikan sumbangan pelbagai peralatan asas kepada sukarelawan pengurusan jenazah di kawasan terbabit.


Sumbangan meliputi set penjana elektrik (genset), lampu pencahayaan, gas dapur (gas cater), khemah serta peralatan penggalian seperti cangkul dan sekop yang disalurkan kepada kumpulan Sukarelawan Gali Kubur Kampung Jepak yang terdiri daripada golongan pemuda dan kaum bapa yang aktif membantu urusan pengebumian penduduk setempat.

Menurut Iskandar, sumbangan ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan untuk menyokong inisiatif komuniti dalam menguruskan jenazah secara lebih tersusun dan berkesan, terutamanya ketika berdepan kes kematian pada waktu malam.
“Kami menyedari bahawa antara cabaran utama pengurusan jenazah pada waktu malam adalah dari segi pencahayaan dan kekurangan kelengkapan asas.

“Dengan adanya sumbangan ini, kita berharap ia dapat meringankan beban para sukarelawan dan memudahkan keluarga yang berdepan saat kehilangan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media usai menyempurnakan majlis ringkas penyampaian sumbangan kepada Sukarelawan Gali Kubur Kampung Jepak di Arena Petanque Jepak, pada Ahad.

Inisiatif ini turut mendapat kerjasama dan sokongan daripada penghulu serta pemimpin komuniti setempat yang aktif mengenal pasti keperluan dan menyelaras bantuan di peringkat kampung masing-masing.

Tambah Iskandar lagi, usaha seumpama ini akan diperluas ke kawasan lain yang turut memerlukan seperti Kuala Tatau, Segan, Kemunting dan beberapa buah kampung lain.

“Insya-Allah, ini adalah permulaan. Kami komited untuk memastikan keperluan logistik bagi pengurusan jenazah diberi perhatian sewajarnya di seluruh DUN Jepak,” ujarnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU