ARTIKEL

Penyertaan Mohd Hamzah Bakawi sebagai calon Ahli Parlimen Belia Malaysia bagi Sarawak mendapat sokongan ADUN Jepak, Iskandar Turkee.

Iskandar Turkee Sokong Penyertaan Hamzah Bakawi Wakili Belia Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BINTULU: ADUN Jepak, Iskandar Turkee menyatakan sokongan penyertaan Mohd Hamzah Bakawi sebagai calon Ahli Parlimen Belia Malaysia bagi Sarawak daripada Parti Generasi Progresif (PGP).

Beliau berkata penyertaan Hamzah, yang juga belia dari Ranting Kampung Masjid di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) N.67 Jepak, membuka peluang kepada golongan muda di kawasan itu untuk mengetengahkan aspirasi dan pandangan mereka ke peringkat nasional.

Menurutnya, pelibatan belia dalam platform kepimpinan mencerminkan kesediaan generasi muda untuk memainkan peranan lebih aktif dalam menyumbang idea serta membantu pembangunan masyarakat dan Sarawak.

“Sebagai wakil rakyat di DUN Jepak, saya amat mengalu-alukan pelibatan anak muda dari kawasan ini (Jepak) untuk tampil ke hadapan membawa suara generasi belia serta menyumbang idea dan pandangan bagi pembangunan masyarakat dan negeri Sarawak,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya.

Menurut Iskandar, golongan belia mempunyai potensi besar sebagai pemimpin masa hadapan dan wajar diberikan ruang serta peluang untuk menyuarakan pandangan isu yang berkait rapat dengan kehidupan mereka.

Tambahnya, penyertaan anak muda dalam platform kepimpinan bukan sahaja membolehkan mereka membawa aspirasi generasi sendiri, malah membuka ruang untuk pandangan dan cadangan berkaitan pembangunan masyarakat diketengahkan kepada pihak berkepentingan di peringkat lebih luas.

Sehubungan itu, beliau berharap Hamzah dapat memanfaatkan peluang berkenaan sebaik-baiknya bagi menyuarakan aspirasi belia Sarawak, khususnya anak muda di DUN Jepak, agar keperluan dan pandangan mereka turut diberikan perhatian dalam perancangan pembangunan negara.

Beliau turut menggalakkan lebih ramai golongan muda di Jepak untuk melibatkan diri secara aktif dalam kegiatan kemasyarakatan, kepimpinan dan pembangunan komuniti bagi menimba pengalaman serta meningkatkan keupayaan menyumbang kepada masyarakat.

Menurutnya, golongan belia bukan sekadar pewaris kepimpinan, sebaliknya turut berperanan sebagai rakan pembangunan yang mampu mengemukakan idea baharu dan perspektif segar dalam menangani cabaran semasa.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU