Islam membawa erti sejahtera sebagaimana sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda: “Muslim itu ialah mereka yang membuat Muslim lain selamat daripada kejahatan lidahnya dan tangannya“. (maksud hadis riwayat al-Bukhari)
Imam Ibn Battal dalam syarahan beliau tentang hadis ini menjelaskan: Yang dimaksudkan dengan hadis ini ialah tuntutan supaya meninggalkan perbuatan menyakiti umat Islam dengan lidah, tangan dan juga semua yang menyakitkan.
Menjadi Muslim yang sempurna merupakan kenikmatan besar seperti firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak diterima daripadanya dan ia pada hari akhirat kelak daripada orang yang rugi”. (maksud Ali-Imran: 85)
Apabila kita melihat dari sudut mata kaca, makna keamanan maka Islam merupakan satu-satunya agama yang sentiasa membawa imej keamanan.
Bahkan al-Quran — kitab teragung bagi umat Islam sentiasa membicarakan soal keamanan dan Allah SWT menyebutnya berkali-kali dalam kalam-Nya.
Islam mewajibkan umatnya dan negara Islam untuk menjaga keamanan, kemerdekaan dan perpaduan negara.
Kewajipan ini diperkukuh lagi dengan firman Allah SWT: “Sebenarnya orang yang beriman itu bersaudara, maka damaikanlah antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat. (maksud al-Hujurat: 10)
Pada hari ini kita melihat peperangan berlaku sehingga mengorbankan nyawa, banyak terutama orang awam yang menjadi mangsa keadaan.
Dalam keadaan sebegini menjadi kesempatan bagi sesetengah pihak yang memusuhi Islam menunding jari mengatakan Islam sebagai punca berlakunya keganasan dan peperangan.
Sedangkan dakwaan itu tidak benar dan salah, tetapi negara Islam sering kali menjadi mangsa bagi kegansan dan peperangan.
Begitu juga media sosial yang kerap memainkan peranan menggambarkan seolah-olah Islam merupakan agama yang melahirkan pengganas dan sebagainya.
ISLAM MENDIDIK HATI
Setiap keburukan bermula dari hati dan itulah fokus utama yang dipelihara Islam terhadap setiap umatnya. Kerana bermula dari hati melahirkan peribadi yang mulia lagi pekerti.
Sekiranya kita mengimpikan keamanan pada dunia yang kacau-bilau pada hari ini, maka ia haruslah bermula dengan diri sendiri.
Kita sendiri memperbaiki penyakit yang bermula dari hati.
Daripada Nu’man Basyir berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda: “Ketahuilah bahawa pada jasad itu terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh jasadnya, jika ia buruk maka buruklah seluruh jasadnya, ketahuilah bahawa ia ialah hati (jantung).” (maksud riwayat Bukhari)
Setiap kebencian dan permusuhan bermula daripada segumpal daging yang bernama hati, kemudiannya ia bermula merebak melalui tindakan dan seterusnya boleh mengakibatkan jenayah yang lebih besar seperti membunuh dan sebagainya.
Oleh itu, Islam amat menitikberatkan soal hati dan jiwa manusia yang sering berubah-rubah mengikut keadaan dan tahap iman.
Apatah lagi sekiranya hati tersebut terlalu jauh daripada Islam dan jarang dibasahi ayat al-Quran serta zikri kepada Allah SWT.
Rasulullah SAW bersabda: “Awasi diri kamu daripada buruk sangka kerana perbuatan itu adalah pembohongan besar.
Jangan mencari berita buruk, berhasad dengki, bermasam muka dan marah, sebaliknya jadikan diri kamu bersaudara.” (maksud hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Hati atau jantung ini merupakan salah satu organ penting di dalam badan manusia dengan ia menjadi faktor utama baik atau rosaknya sesuatu jasad seseorang itu sama ada dari segi kesihatan dan akhlak.




