KUCHING: Briged Ketiga Infantri Malaysia (3 Briged) merekodkan rampasan barang bernilai hampir RM1.7 juta menerusi operasi kawalan sempadan Sarawak setakat Oktober 2026.
Memetik laporan UKAS, Panglima 3 Briged, Brigedier Jeneral Zulkininie Yunus berkata, kejayaan itu turut disokong penggunaan peralatan risikan, pengawasan dan tinjauan (ISR) yang diperuntukkan Kerajaan Sarawak bagi memperkukuh pemantauan di kawasan sempadan.
“Setakat Oktober 2026, hampir RM1.7 juta nilai rampasan kita buat dan serahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk menangani isu berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengetuai delegasi 3 Briged mengadakan kunjungan hormat kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Komplek Satria Pertiwi, di sini, hari ini (Rabu).
Menurut Zulkininie, peralatan pengawasan berkenaan membantu operasi pemantauan di 18 pos sempadan di Sarawak serta lima pos di sebelah Indonesia, khususnya bagi mengesan kegiatan penyeludupan di laluan berisiko.
Katanya, operasi kawalan sempadan dilaksanakan menerusi dua sektor dengan menempatkan anggota di pos kawalan dan menjalankan rondaan di laluan strategik bagi mengekang penyeludupan dadah, senjata serta barangan lain yang boleh menjejaskan keselamatan dan ekonomi negeri.
“Peralatan itu amat berguna dalam tugasan dan kerja yang kami laksanakan, khususnya bagi pengawasan di kawasan sempadan,” jelasnya.
Beliau menjelaskan, tindakan operasi merangkumi pengusiran, rampasan dan tangkapan, manakala barangan yang dirampas diserahkan kepada agensi penguatkuasaan berkaitan untuk tindakan lanjut.
Dalam pada itu, latihan berterusan turut dilaksanakan bagi meningkatkan penguasaan anggota di laluan dan kawasan operasi, sekali gus memperkukuh keupayaan pasukan mengesan serta menyekat pergerakan pihak yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan.
Beliau turut menegaskan kepentingan penggunaan sepenuhnya peralatan ISR yang diperuntukkan Kerajaan Sarawak bagi meningkatkan keberkesanan kawalan keselamatan sempadan.





