KUCHING: Pengalaman mendokumentasikan lebih 900 ramuan herba tradisional serta melibatkan 150 wanita dalam usaha pemuliharaan warisan perubatan jamu di Indonesia bakal dikongsikan menerusi program Sarawak Biodiversity Insights anjuran Pusat Biodiversiti Sarawak (SBC) pada 5 November ini.
Program tersebut akan menampilkan Pengasas dan Pengerusi Yayasan Socfindo Conservation, Luluk Ida Williams, yang aktif dalam pemuliharaan tumbuhan ubatan, pemeliharaan pengetahuan perubatan tradisional serta pemerkasaan masyarakat di Indonesia.
Menurut kenyataan SBC, sesi bertajuk ‘JAMU – Perubatan Herba Tradisional Indonesia: Pengenalan Jamu Saintifik, Pendidikan Komuniti dan Pemerkasaan’ itu akan mengetengahkan pendekatan saintifik dalam penyediaan ramuan herba serta meningkatkan kesedaran kepentingan memelihara pengetahuan perubatan tradisional.
“Menerusi Yayasan Socfindo Conservation, Luluk menerajui pelbagai inisiatif yang menggabungkan pemuliharaan tumbuhan ubatan dengan pendidikan masyarakat bagi memperluas pengetahuan kegunaan herba tradisional.
“Sehingga kini, yayasan berkenaan mendokumentasikan lebih 900 ramuan herba tradisional dan melibatkan 150 wanita dalam pelbagai kegiatan berasaskan komuniti,” kata kenyataan itu.
Tambah kenyataan berkenaan, antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk menggalakkan penanaman tumbuhan ubatan keluarga menerusi program Tanaman Obat Keluarga (TOGA), selain menyediakan latihan amali penyediaan jamu yang menitikberatkan aspek kebersihan.
Usaha berkenaan kata kenyataan itu turut memperkenalkan kaedah penyediaan ramuan herba berasaskan sains yang dibangunkan oleh kerajaan, dengan menggunakan bahan yang diseragamkan serta sukatan yang ditetapkan bagi memastikan hasil penyediaan lebih konsisten.
Menurut SBC, perkongsian itu akan memberi peluang kepada peserta memahami bagaimana pengetahuan perubatan tradisional dapat digabungkan dengan pendekatan saintifik bagi menggalakkan penggunaan tumbuhan ubatan secara bertanggungjawab.
“Program berkenaan turut mengetengahkan peranan masyarakat, khususnya wanita, dalam memelihara pengetahuan perubatan tradisional serta membangunkan kemahiran berkaitan penanaman dan penggunaan tumbuhan ubatan.
“Peserta akan didedahkan kepada kepentingan memulihara kepelbagaian tumbuhan ubatan dan melindungi pengetahuan tradisional supaya warisan tersebut terus dihargai serta dapat diwariskan kepada generasi akan datang.
“Sesi perkongsian yang terbuka kepada orang ramai itu dijadualkan berlangsung pada Khamis, 5 November, jam 2 petang secara dalam talian menerusi Zoom dan siaran langsung Facebook,” kata kenyataan itu.
Malah, penyertaan melalui Zoom adalah percuma, namun terhad kepada 300 peserta.
Orang ramai kata kenyataan itu boleh mengikuti siaran langsung program berkenaan menerusi Facebook SBC.
“Program itu turut menyediakan sesi soal jawab secara langsung bagi membolehkan peserta berinteraksi dengan penceramah. Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi SBC menerusi talian 082-610610,” kata kenyataan itu.





