BINTANGOR: Seramai 237 peserta, termasuk dari Brunei Darussalam dan Singapura, bakal berentap dalam Perlumbaan Bot Laju Bintangor bermula 30 Oktober hingga 1 November ini.
Penaung Jawatankuasa Penganjur, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, edisi kali ini mempertandingkan lapan kategori dengan keseluruhan hadiah wang tunai berjumlah RM49,250.
Beliau berkata, jumlah penyertaan itu berdasarkan pendaftaran yang diterima hingga tarikh tutup pada 26 Oktober lalu.
Katanya, peserta yang mengambil bahagian terdiri daripada pelbagai bahagian dan daerah di Sarawak, selain wakil dari Brunei Darussalam, Johor dan Singapura.
“Kejohanan anjuran Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), sebelum ini dikenali sebagai Pesta Air Bintangor, menjadi platform penting untuk mengangkat Bintangor sebagai destinasi pelancongan sukan air yang mampu menarik penyertaan dari dalam dan luar negara.
“Penganjurannya juga bertujuan merancakkan ekonomi setempat menerusi peningkatan aktiviti pelancongan, perdagangan dan perkhidmatan, selain membuka peluang perniagaan kepada usahawan serta komuniti tempatan,” katanya kepada media.
Selain menjadi medan persaingan kepada peserta, kejohanan itu turut menyokong perkembangan sukan permotoran air melalui penganjuran pertandingan berkualiti, sekali gus menggalakkan penyertaan lebih ramai atlet dan mencungkil bakat baharu.
Kuong Hiing berkata, penganjuran tahun ini turut menyokong Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030), khususnya dalam memperkukuh sektor pelancongan sukan serta meningkatkan kerjasama antara agensi dan komuniti.
“Saya berharap usaha ini memupuk perpaduan dan menyemarakkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan masyarakat menerusi penglibatan bersama dalam menjayakan acara berkenaan,” katanya.






