ARTIKEL

SMK Saribas raih 11 anugerah Kolokium KTT12L 4.0


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

DEBAK: SMK Saribas membuktikan kecemerlangan warga pendidiknya apabila berjaya meraih 11 anugerah pada Kolokium Kajian Tindakan Teknik 12 Langkah (KTT12L) 4.0 Peringkat Negeri, 2026.

Kejayaan itu merangkumi lima Anugerah Emas, tiga Anugerah Perak dan satu Anugerah Gangsa, selain masing-masing satu Anugerah Pembentang Terbaik Bilik Selari dan Anugerah Khas Penyertaan.

Pencapaian berkenaan melibatkan 14 guru dan seorang anggota kumpulan pelaksana (AKP) yang diketuai Pengetua SMK Saribas, Nur Liana Lim Abdullah, menerusi sembilan penyertaan.

WARGA SMK Saribas ketika meraikan pencapaian cemerlangnya pada KTT12L 4.0 Peringkat Negeri, 2026.

Menurut kenyataan, penyertaan dalam kolokium berkenaan mencerminkan komitmen tinggi warga pendidik SMK Saribas dalam memperkasakan budaya penyelidikan, inovasi dan kecemerlangan profesional bagi meningkatkan kualiti pendidikan.

Secara keseluruhannya, pencapaian itu membawa makna penting kepada pembangunan sekolah, khususnya dalam aspek kecemerlangan penyelidikan pendidikan, pengukuhan budaya inovasi, kolaborasi profesional, kemahiran pembentangan ilmiah serta peningkatan reputasi institusi.

Kejayaan meraih lima Anugerah Emas daripada sembilan penyertaan menunjukkan keupayaan warga pendidik sekolah itu menghasilkan kajian tindakan yang mendapat pengiktirafan tertinggi dalam kategori penulisan kertas kajian.

Pada masa sama, pelibatan 14 guru dan seorang AKP memperlihatkan kesungguhan warga sekolah menjadikan kajian tindakan sebagai pendekatan untuk menilai keberkesanan amalan sedia ada, mengenal pasti ruang penambahbaikan dan meningkatkan profesionalisme.

Penyertaan secara individu dan berkumpulan turut mencerminkan kepentingan kolaborasi serta perkongsian ilmu dalam menghasilkan penyelesaian yang lebih berkesan dalam cabaran pengajaran dan pembelajaran.

Kejayaan meraih Anugerah Pembentang Terbaik Bilik Selari pula membuktikan keupayaan warga SMK Saribas bukan sahaja menghasilkan penyelidikan, malah menyampaikan dapatan kajian secara berkesan dan meyakinkan.

Pencapaian di peringkat negeri itu sekali gus mengukuhkan imej SMK Saribas sebagai institusi pendidikan yang aktif dalam penyelidikan, inovasi serta pembangunan profesionalisme guru dan AKP.

Nur Liana berharap kejayaan berkenaan menjadi inspirasi kepada seluruh warga sekolah untuk terus melakar pencapaian lebih cemerlang, di samping memperkukuh usaha meningkatkan kualiti pendidikan secara berterusan.

BERITA LAIN

Borneo kaya sumber alam, perlu dibangun bersama

KUCHING: Sarawak menyarankan negara dan wilayah di Kepulauan Borneo berganding tenaga dalam memanfaatkan kekayaan biodiversiti dan sumber tenaga yang dimiliki sebagai pemacu pembangunan serantau, sekali

BERITA TERBARU