KUCHING: Bakat muda sukan yang lahir pada 2014 dipelawa menyertai sesi pemilihan atlet Sekolah Sukan Negeri (SSN) Sarawak menerusi Program Mengenal Pasti Bakat Sukan (TID) bagi kemasukan tingkatan satu sesi akademik 2027 di Kompleks Sukan SMK Tabuan Jaya, 4 November ini.
Pencarian bakat baharu itu memberi tumpuan kepada empat jenis sukan, iaitu olahraga, bola sepak, sepak takraw dan bola jaring, dengan sesi pemilihan bermula 7.30 pagi bagi mengenal pasti murid berpotensi untuk diketengahkan sebagai pelapis sukan Sarawak.
SMK Tabuan Jaya selaku SSN Sarawak akan melaksanakan proses pemilihan melibatkan empat disiplin sukan berkenaan bagi menilai kemampuan murid yang mempunyai pengalaman serta pencapaian dalam pertandingan di peringkat sekolah dan daerah.
Berdasarkan syarat penyertaan, calon mestilah lahir pada 2014, mempunyai tahap kesihatan yang baik serta bebas daripada penyakit kronik seperti asma, lelah dan penyakit berjangkit.
Selain itu, pemohon perlu mempunyai pengalaman sekurang-kurangnya mewakili daerah ke peringkat bahagian atau kejohanan lebih tinggi, sekali gus memastikan peserta yang hadir mempunyai asas kemahiran dalam sukan pilihan masing-masing.
Proses pemilihan turut memberi penekanan tahap kecergasan fizikal, penguasaan kemahiran asas serta potensi perkembangan atlet sebelum dipertimbangkan untuk mengikuti program pembangunan sukan di sekolah berkenaan.
Bagi calon yang berminat, pendaftaran boleh dilakukan menerusi kod respons pantas (QR) yang disediakan pada poster rasmi program atau melalui pautan pendaftaran dalam talian.
Murid yang berjaya melepasi proses pemilihan berpeluang meneruskan persekolahan dalam persekitaran yang menggabungkan pembangunan akademik dan latihan sukan, tertakluk kepada syarat serta tawaran kemasukan sekolah.
Antara kemudahan yang dinyatakan bagi atlet terpilih termasuk penginapan asrama, sokongan pemakanan, pakaian dan peralatan latihan serta perlindungan insurans berkelompok, selain bimbingan akademik dan bantuan pendidikan bagi yang layak.
Sebarang pertanyaan mengenai pemilihan bola jaring boleh diajukan kepada Linda di talian 0194396877, manakala bola sepak menerusi Abang Zairol di 0148774778.
Bagi olahraga, orang ramai boleh menghubungi Ismail Edi di 0198059565, sementara pertanyaan sepak takraw boleh disalurkan kepada Shukri di 0165891983 atau pejabat sekolah di 082364936.





