Israel mulakan kerja meroboh kediaman Palestin

SUR BAHER (Wilayah Palestin): Israel mula merobohkan beberapa rumah penduduk Palestin yang dianggap haram di selatan Baitulmuqaddis pada awal Isnin, dalam tindakan yang mengundang kebimbangan antarabangsa.

Puluhan anggota polis dan tentera Israel mengepung sekurang-kurangnya empat bangunan di kawasan Sur Baher berhampiran sekatan keselamatan Israel di sepanjang kawasan di Tebing Barat.

Sebuah jengkaut kemudiannya memusnahkan bangunan dua tingkat yang separuh siap.

Wartawan dihalang memasuki kawasan itu sementara penduduk dan aktivis diseret keluar dari rumah mereka.

Seorang lelaki berteriak, “Saya mahu mati di sini!,” selepas dipaksa dia keluar.

Bangunan-bangunan itu terletak di tembok pemisah Israel yang memisahkan kawasan diceroboh pendatang haram Israel di Tebing Barat dan wilayah Yahudi mengatakan ia dibina terlalu dekat dengan tembok tersebut.

Palestin menuduh rejim Zionis menggunakan alasan keselamatan untuk memaksa mereka keluar dari kawasan itu sebagai sebahagian daripada usaha meluaskan penempatan dan jalan raya menghubungkan wilayah itu.

Penduduk Palestin mengatakan kebanyakan bangunan itu terletak dalam kawasan yang di bawah pemerintahan awam Pihak Berkuasa Palestin dan hak sah rakyat Palestin di bawah perjanjian antara kerajaan Palestin dan Israel.

Ismail Abadiyeh, yang tinggal dengan keluarganya di salah satu bangunan telah dirobohkan. Dia mengatakan mereka akan kehilangan tempat tinggal.

“Kami akan menjadi gelandangan,” katanya kepada AFP.

Tentera dan polis Israel tidak mengulas keadaan itu dengan segera.

Pada 18 Jun, penduduk menerima notis 30 hari dari pihak berkuasa Israel yang memaklumkan kepada mereka untuk merobohkan kediaman itu, yang kebanyakannya masih dalam pembinaan.

Menurut agensi Hal Ehwal Kemanusiaan PBB, OCHA, keputusan itu melibat 10 bangunan yang sudah siap dibina atau dalam pembinaan, termasuk sekitar 70 pangsapuri.

Perobohan itu akan mengakibatkan 17 orang kehilangan tempat tinggal dan 350 orang lagi terjejas, menurut PBB.

Diplomat Kesatuan Eropah baru-baru ini melawat kawasan itu dan PBB telah meminta Israel untuk membatalkan rancangan perobohan tersebut.

Penduduk Palestin takut 100 bangungan lain di kawasan itu mungkin menerima nasib yang sama untuk dirobohkan dalam masa terdekat.

Sangat sukar bagi rakyat Palestin untuk menerima permit pembinaan dari pihak berkuasa Israel di kawasan yang dikuasai mereka.

Aktivis hak asasi Palestin dan penduduk mengatakan kesukaran itu menyebakan kekurangan perumahan.

Israel meceroboh Tebing Barat dan timur Baitulmuqaddis pada Perang Enam Hari 1967. Ia kemudian menakluki timur Baitulmuqaddis dalam tindakan yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Israel mula membina tembok pemisah semasa 2000 dan Israel mengatakan ia perlu untuk melindunginya daripada serangan. -AFP

Suara Sarawak