MAJLIS ISTIADAT BERSANDING Pengantin Diraja Brunei, Pengiran Muda Abdul Mateen Bolkiah bersama-sama isterinya, Dayang Anisha Rosnah berlangsung di Istana Nurul Iman, Bandar Seri Begawan pada Ahad.
Upacara penuh tradisi diraja itu bermula 10.10 pagi dan mempelai pengantin kemudian dibawa menyertai perarakan mengelilingi ibu kota Brunei.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh tetamu diraja termasuk Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama-sama Raja Pemaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.
Pasangan Putera Mateen dan Dayang Anisha selamat diijab kabul dalam Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja di Masjid Omar Ali Saifuddien, pada tengah hari, Khamis lalu.
Mateen ialah anak ke-10 kepada Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah iaitu raja yang paling lama memerintah di dunia dan pernah menjadi orang terkaya di dunia.
Manakala, Dayang Anisha, 29, merupakan cucu kepada salah seorang penasihat utama ayahandanya – dilaporkan mempunyai jenama fesyen dan memiliki perniagaan dalam sektor pelancongan.
ISTIADAT PERKAHWINAN
Istiadat perkahwinan unik pasangan diraja itu berlangsung selama 10 hari — bermula dengan Majlis Istiadat Bersuruh Diraja pada Ahad (7 Januari).
Istiadat Besuruh Diraja Brunei hanya berlangsung apabila perundingan antara kedua-dua pihak pengantin dipersetujui.
Majlis Istiadat Membuka Gendang Jaga-Jaga mengisi hari kedua istiadat perkahwinan diraja.
Menariknya, istiadat Membuka Gendang Jagajaga diwarisi sejak zaman pemerintahan Sultan Muhammad Shah dan Sultan Sharif Ali.
Majlis pada hari yang sama turut diisi dengan Majlis Istiadat Menghantar dan Menerima Tanda Diraja – Pengesahan calon pasangan pengantin diraja.
Istiadat ini mempunyai tiga peringkat iaitu menghantar tanda diraja, menghantar tanda pertunangan diraja dan menerima tanda dan tanda pertunangan.
Manakala, Majlis Istiadat Berbedak Pengantin Diraja sempena Istiadat perkahwinan Diraja diadakan pada hari keempat (10 Januari).
Mengikut adat istiadat Diraja Brunei Darussalam, Istiadat Berbedak Diraja bagi pengantin lelaki dan pengantin perempuan diadakan pada sebelah malam mengikut tarikh yang ditetapkan.
Majlis dimulakan dengan perarakan 40 pembawa tombok diikuti tembakan meriam 17 das sebagai tanda bermulanya Istiadat Berbedak Pengantin Diraja itu.
Menerusi majlis itu, Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah dan isteri, Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha serta Pengiran Anak Puteri Azemah Ni’matul Bolkiah berkenan menculiki (mencalit) Bedak Diraja kepada paduka anakanda Pengiran Muda Abdul Mateen dan Dayang Anisha Rosnah, yang diadakan secara berasingan di tempat yang sama.
TAMBAH SERI
Adat berbedak ialah upacara kedua pengantin dibedakkan untuk menambah serinya wajah.
Susulan daripada istiadat ini ialah kemuncaknya iaitu Majlis Istiadat Akad Nikah Diraja, Majlis Bersanding Pengantin Diraja dan Majlis Persantapan Diraja pada 15 Januari (hari kesembilan).
Diikuti Majlis Istiadat Membaca Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-Jaga pada 16 Januari (hari ke-10).
Istiadat Doa Selamat dan Menutup Gendang Jaga-jaga pula acara untuk menutup semua acara, dimulai dengan bacaan zikir, diikuti tembakan meriam kesultanan Brunei.
Adat ini juga diiringi Gendang Arak-Arakan, dan diakhiri dengan membokar dan membuka perhiasan.



