BINTULU: Isu banjir kilat dan takungan air yang sekian lama membelenggu penduduk di Taman Jelita dan kawasan perumahan Kozai dijangka mendapat penyelesaian secara berperingkat susulan penyelarasan antara agensi berkaitan bagi melaksanakan langkah jangka pendek dan jangka panjang.
ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming berkata usaha menangani masalah berkenaan memerlukan kerjasama erat antara pihak berkuasa tempatan dengan agensi teknikal dan pemaju bagi memastikan penyelesaian yang dilaksanakan benar-benar berkesan serta mampu mengatasi punca utama banjir.

Beliau berkata, isu berkenaan bukan sahaja menyebabkan jalan raya dinaiki air ketika hujan lebat, malah turut mengakibatkan aliran lumpur memasuki kawasan kediaman sehingga menjejaskan kehidupan harian penduduk.
“Masalah ini perlu ditangani secara menyeluruh, bukan sekadar penyelesaian sementara. Keutamaan kita ialah memastikan keselamatan dan kesejahteraan penduduk sentiasa terpelihara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas hasil mesyuarat penyelarasan bersama agensi berkaitan yang membincangkan langkah menangani masalah saliran dan banjir di kawasan perumahan berkenaan.
Johnny Pang berkata hasil pemeriksaan di lapangan baru- baru ini mendapati Taman Jelita dikelilingi kawasan berbukit dengan sistem saliran sedia ada yang mempunyai kapasiti terhad untuk menampung aliran air ketika hujan lebat, sekali gus menyebabkan limpahan air dan mendapan lumpur.
Sehubungan itu, katanya beberapa langkah segera dipersetujui, termasuk membina saluran lencongan bagi mengalihkan sebahagian aliran air hujan ke laluan lain, selain pembinaan longkang tambahan di kawasan kaki bukit bagi mengurangkan tekanan sistem saliran sedia ada.
Beliau berkata kontraktor turut diminta mengambil tindakan kecemasan dengan mengalirkan air bertakung ke kolam berhampiran bagi mengurangkan limpahan air di jalan raya sepanjang musim hujan.
“Bagi tempoh jangka panjang pula, pembangunan kolam takungan atau kolam tadahan perlu dipercepat bagi meningkatkan kapasiti tebatan banjir serta mengurangkan risiko kejadian sama berulang pada masa depan,”ujarnya.



