BINTULU: ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming memberi jaminan isu bau tidak menyenangkan yang membelenggu penduduk dan peniaga di kawasan Jalan Utara-Selatan di sini akan terus dipantau sehingga satu penyelesaian menyeluruh dapat dilaksanakan.
Beliau berkata, pihaknya bersama Pasukan Khidmat DUN Tanjong Batu, Jabatan Perkhidmatan Pembetungan Sarawak (SSD) serta kontraktor berkaitan turun padang menjalankan pemeriksaan ke atas fasiliti tangki septik di kawasan berkenaan susulan aduan orang awam sejak kebelakangan ini.

Menurutnya, masalah bau itu dilaporkan menjadi lebih ketara ketika cuaca panas dan kering, sekali gus menjejaskan keselesaan penduduk setempat serta memberi kesan kepada operasi perniagaan di sekitar kawasan terlibat.
“Isu ini beberapa kali saya bangkitkan kepada pihak SSD di Kuching kerana ia melibatkan keselesaan dan kesejahteraan masyarakat setempat.
“Saya mahu tindakan segera diambil bagi memastikan masalah ini dapat dikurangkan dan diselesaikan secepat mungkin,” katanya.
Johnny Pang berkata, pihak berkaitan kini melantik kontraktor untuk melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan, termasuk penggunaan bahan rawatan khas bagi mengurangkan bau secara berperingkat.
Dalam pada itu, beliau turut menggesa penduduk serta peniaga di kawasan berkenaan agar terus menyalurkan maklum balas sekiranya masalah tersebut masih berlarutan.



