ARTIKEL

Sekitar rakaman kenangan ketika Gerawat mempengerusikan Mesyuarat Berkaitan Bekalan Air bagi Kawasan N.78 Mulu di sini, hari ini. FOTO Facebook Gerawat Gala

Isu bekalan air Mulu terus diberi perhatian

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MIRI: Isu kemudahan dan kelangsungan bekalan air bersih melibatkan beberapa kampung di kawasan Mulu terus diberi perhatian, khususnya masalah kritikal yang telah lama dibangkitkan oleh penduduk setempat.

Perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Berkaitan Bekalan Air bagi Kawasan N.78 Mulu yang dipengerusikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Datuk Gerawat Gala di sini hari ini.

Beliau berkata antara perkara yang dibincangkan ialah masalah bekalan air di Kampung Pa Ukat, Bario.

Turut dibangkitkan ialah isu penyambungan bekalan air ke Kampung Baru Bario yang sehingga kini masih bergantung sepenuhnya kepada sistem gravity feed, serta masalah bekalan Loji Bekalan Air Alternatif Sarawak (SAWAS) di Long Lio Mato.

Katanya, mesyuarat itu turut membincangkan masalah bekalan air SAWAS di kawasan Seridan, permohonan naik taraf sistem bekalan air di Long Banga, selain isu kontraktor yang menyelenggara Loji Air Bario yang memberi kesan langsung kepada penduduk setempat, serta masalah bekalan air di Poyut, Lubok Nibong, Marudi.

“Justeru, saya menggesa Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) memandang serius perkara ini kerana keadaan bekalan air di kawasan tersebut semakin kritikal dan menjejaskan kehidupan seharian rakyat,” katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Susulan mesyuarat berkenaan, Gerawat memaklumkan beberapa tindakan segera telah dipersetujui dan JBALB akan turun ke Kampung Pa Ukat esok (10 Februari) untuk menilai situasi sebenar di lapangan.

Menurutnya, bagi masalah bekalan air di Long Lio Mato, JBALB memaklumkan bahawa lawatan tapak telah dilakukan pada Ogos 2025 dan pengurusan JBALB mencadangkan agar Loji SAWAS Lio Mato diselenggara di bawah bajet operasi SAWAS yang kini masih menunggu pemuktamadan.

“Selain itu, isu bekalan air SAWAS di Seridan pula, JBALB akan mempertimbangkan pembinaan pengambilan (intake) baharu dan sebagai penyelesaian jangka pendek, JBALB Miri telah memohon pembekalan paip polietilena (poly pipe) bagi penyambungan ke punca gravity feed,” ujarnya.

Dalam hal berkaitan, beliau memberitahu permohonan baik pulih sistem bekalan air di Long Banga, JBALB Miri telah menerima memo kelulusan projek dan akan mengemukakan permohonan kos baik pulih di bawah peruntukan operasi SAWAS.

“Berhubung masalah kontraktor di Bario, JBALB telah menghubungi kontraktor terlibat dan menegaskan agar perkhidmatan penyelenggaraan diberikan dengan lebih berkesan demi kepentingan penduduk yang terjejas.

“Justeru, saya akan terus memantau perkembangan ini dan memastikan semua agensi berkaitan mengambil tindakan segera dan berkesan kerana bekalan air bersih adalah keperluan asas rakyat dan tidak boleh dikompromikan,” tegasnya.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU