KUCHING: Mahkamah Syariah Sarawak dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) sedang meneliti dan menyediakan platform bagi menguruskan pengesahan perkara berkaitan pernikahan tanpa kebenaran yang melibatkan dua negara.
Ketua Hakim Syarie Sarawak Datu Awang Suhaili Ledi berkata, isu yang dihadapi kini adalah apabila individu yang menikah di negara jiran atau luar negara menghadapi masalah untuk mengesahkan pernikahan mereka di Sarawak kerana tiada dokumen lengkap.
“Semua akan ditanya satu persatu sebelum mahkamah mengesahkan pernikahan tersebut sama ada ia sah mengikut hukum syarak.
“Dalam Undang-Undang Islam, walaupun perkahwinan tadi melanggar undang-undang, jika ia mengikut hukum syarak, perkahwinan itu adalah sah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Pelantikan Istikhlaf Wali Hakim Sarawak Tahun 2025 di sini, hari ini.
Beliau berkongsi bahawa pada awal tahun ini, pihaknya dan JAIS telah mengadakan lawatan ke Thailand untuk meneliti cara menguruskan pernikahan orang Malaysia di negara tersebut.
Ujarnya, hasil lawatan itu pihaknya akan menguruskan perkara yang sama melalui platform yang akan disediakan nanti.
“Walau bagaimanapun, ini bukan bererti kita menggalakkan mereka menikah. Cuma, sekiranya berlaku pernikahan tanpa kebenaran, pihak kita dapat mewujudkan perhubungan dengan negara jiran khasnya Indonesia.
“Ini bermakna ia akan memudahkan kita mendapatkan maklumat untuk pihak mahkamah mengesahkan apa-apa perkahwinan tanpa kebenaran.
“Insya-Allah, pihak kami dan pihak JAIS akan mencari mekanisma untuk menyelesaikan sekiranya berlaku perkara tersebut,” katanya.
Tambah beliau, kebanyakan kes untuk pengesahan ialah pernikahan tanpa kebenaran yang melibatkan kes-kes poligami yang beliau sendiri gelar 3T (Teringin Tapi Takut).

