BINTULU: Isu kemudahan rosak seperti astaka dan padang serta tekanan air rendah di SJK Chung Hua No. 2 Bintulu mendapat perhatian ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming.
Beliau memberi jaminan bahawa tindakan susulan akan diambil dalam masa terdekat bagi menangani masalah berkenaan.
Menurutnya, perkara itu dibangkitkan dalam satu pertemuan bersama dengan pihak pengurusan sekolah melibatkan pengerusi lembaga pengurusan, guru besar serta ahli lembaga pengurusan sekolah.
“Antara isu utama yang dikenal pasti ialah tekanan air rendah dan kejadian kecurian kabel, yang mula memberi kesan kepada kelancaran aktiviti harian sekolah,” katanya ketika ditemui.
Beliau berkata keadaan padang sekolah dan struktur astaka turut memerlukan perhatian segera atas faktor keselamatan.
Jelasnya, padang yang sering digunakan untuk aktiviti sukan dan kokurikulum kini berada dalam keadaan tidak rata serta mengalami masalah saliran lemah sehingga menyebabkan takungan air, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan dalam kalangan pelajar.
“Bumbung astaka juga dilaporkan mengalami kerosakan serius dan boleh mengundang bahaya terutama ketika cuaca buruk,” katanya.
Sehubungan itu, Pang berkata beliau akan mengatur lawatan tapak dalam masa terdekat bagi menilai keadaan sebenar sebelum menyalurkan bantuan menerusi peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
“Keselamatan pelajar serta penyediaan persekitaran pembelajaran yang kondusif adalah keutamaan. Usaha akan diambil bagi memastikan kerja-kerja pembaikan dan naik taraf dapat dilaksanakan secepat mungkin,” ujarnya.
Beliau turut menegaskan komitmen untuk terus bekerjasama dengan pihak sekolah dan komuniti setempat dalam memastikan kemudahan pendidikan berada pada tahap terbaik demi kesejahteraan pelajar.

