KUCHING: Isu kesihatan mental dalam kalangan pelajar dan remaja di negara ini tidak boleh dipandang ringan, malah memerlukan kerjasama erat antara sekolah, ibu bapa dan komuniti bagi mewujudkan persekitaran sokongan yang menyeluruh.
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata kesedaran berkaitan kesihatan mental perlu dipupuk sejak awal, bukan hanya bergantung kepada guru atau kaunselor di sekolah.
“Ibu bapa, PIBG dan pemimpin masyarakat perlu sama-sama memainkan peranan.
“Kita tidak boleh bebankan semua tanggungjawab kepada guru dan kaunselor semata-mata,” katanya selepas merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2024 anjuran Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuching di Dewan Hikmah, Petra Jaya, hari ini.
Beliau berkata kementeriannya juga sedang melaksanakan pelbagai inisiatif seperti Program Keibubapaan dan Program KafeTeen untuk meningkatkan kefahaman dalam kalangan ibu bapa serta memberi sokongan kepada remaja yang menghadapi tekanan emosi dan mental.
Dalam masa sama, Nancy turut mempromosikan talian bantuan 15999 yang dikendalikan oleh kaunselor bertauliah bagi mereka yang memerlukan sokongan psikososial, rujukan rawatan atau sekadar ruang untuk meluah rasa.
“Talian ini menjadi saluran penting untuk semua golongan masyarakat, bukan sahaja untuk kanak-kanak.
“Kita mahu bantu mereka yang tiada tempat mengadu, dan ini sebahagian daripada usaha kerajaan menangani isu kesihatan mental secara berkesan,” ujarnya.
Menyentuh usaha kementeriannya di lapangan, Nancy berkata Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) kini menjadi antara inisiatif yang semakin mendapat permintaan tinggi daripada pihak kerajaan negeri, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Kami membawa trak bantuan sokongan sosial ke kawasan sasaran bagi memberi kaunseling secara langsung, menyalurkan maklumat dan membantu masyarakat mengenali saluran sokongan yang ada.
“Ini penting kerana ada dalam kalangan masyarakat kita yang tertekan tetapi tidak tahu kepada siapa harus mengadu. Maka, di sinilah peranan PSSS,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha menangani isu ini memerlukan pendekatan menyeluruh melibatkan pelbagai kementerian, agensi dan masyarakat akar umbi.
Sementara itu, majlis anugerah berkenaan turut menyaksikan seramai 414 pegawai pendidikan dari daerah Kuching menerima pengiktirafan atas komitmen dan dedikasi mereka dalam sektor pendidikan.
Daripada jumlah itu, lapan orang merupakan kakitangan PPD Kuching, tiga pengetua, tujuh guru besar, manakala selebihnya terdiri daripada guru dan staf sokongan daripada sekolah-sekolah di sekitar Kuching.
Beliau turut menyatakan hasrat untuk bekerjasama lebih rapat dengan PPD Kuching dalam melaksanakan program keibubapaan dan sokongan keluarga di peringkat sekolah.
“Persekitaran yang menyokong dan kondusif amat penting untuk perkembangan menyeluruh kanak-kanak,” katanya.
Beliau turut menyeru para pendidik agar mengekalkan budaya kerja cemerlang yang berteraskan integriti dan keikhlasan sebagai asas membina masyarakat berilmu dan berhemah.






