KUCHING: Kesihatan mental perlu diberi perhatian serius dan diperkukuh melalui pendekatan bersepadu melibatkan masyarakat, institusi kesihatan dan agensi kerajaan.
ADUN Kota Sentosa Wilfred Yap menegaskan, kesihatan mental tidak wajar dipandang ringan, sebaliknya perlu diberikan keutamaan sama seperti kesihatan fizikal.

“Program seperti Healthy Mind Charity Run membantu memupuk gaya hidup sihat dan mengurangkan stigma isu mental dalam kalangan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Larian Amal Kesihatan Minda 4.0 anjuran Badan Kebajikan Psikiatri Hospital Sentosa dengan kerjasama Kesatuan Perkhidmatan Perubatan Sarawak (SMSU) di sini, hari ini.
Beliau turut memuji usaha berterusan Hospital Sentosa dan SMSU dalam memperjuangkan advokasi, intervensi awal serta pendidikan awam yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
Sebagai komitmen memperkasa usaha tersebut, beliau mengumumkan peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM10,000 untuk membantu penganjur melaksanakan program, termasuk aktiviti kebajikan pesakit dan kempen kesedaran.
Tegasnya, tanggungjawab menjaga kesihatan mental memerlukan sokongan berterusan daripada semua pihak.



