ARTIKEL

Abang Johari berucap pada Majlis Menandatangani SPA antara Kerajaan Sarawak dengan MAG di Kuching hari ini. | Foto: UKAS

Isu minyak dan gas antara PETROS dengan PETRONAS sudah diselesaikan — Abang Johari

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak menegaskan bahawa tiada pertikaian yang belum diselesaikan antara Petroleum Sarawak Bhd (PETROS) dengan Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) berkaitan isu minyak dan gas.

Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menjelaskan bahawa isu tersebut telah diselesaikan dan mencapai kata muktamad.

“Isu ini sebenarnya sudah selesai, hanya terdapat beberapa perkara yang belum mempunyai kepastian atau penjelasan berpunca daripada maklumat yang salah.

“Sebenarnya, perkara ini sangat jelas seperti air yang jernih, tetapi ia menjadi kabur atau tidak jelas disebabkan maklumat yang tidak tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) antara Kerajaan Sarawak dengan Malaysia Aviation Group (MAG) di sini hari ini.

Sementara itu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook yang turut hadir, menyatakan bahawa hubungan kerjasama yang erat antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sarawak membolehkan semua isu, termasuk berkaitan dengan minyak dan gas, diselesaikan secara harmoni.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah memberikan penjelasan dalam mesyuarat Kabinet, dan mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan isu antara Persekutuan dan Sarawak dengan cara yang baik serta dalam situasi menang-menang.

“Tiada pihak yang mengalami kerugian atau kehilangan hak mereka. Kedua-dua pihak mendapat manfaat.

“Ini adalah prinsip yang menjadi panduan demi pembangunan Sarawak dan Malaysia,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa persetujuan antara PETROS dengan PETRONAS dijangka diumumkan dalam masa terdekat.

“Saya percaya akan ada pengumuman mengenai persetujuan antara kedua-dua syarikat minyak dan gas ini, yakinlah dengan kebijaksanaan Perdana Menteri serta Premier.

“Kedua-dua pemimpin ini sangat bijak dalam menangani isu ini, dan saya pasti apabila pengumuman dibuat, ia akan memberikan manfaat kepada semua pihak,” ujarnya sambil menegaskan tiada isu yang tidak dapat diselesaikan antara Persekutuan dengan Sarawak.

Mengenai Pelabuhan Bintulu, Anthony berkata perbincangan tentangi pemindahan kuasa pengawalseliaan operasi kepada Kerajaan Sarawak sedang berjalan dengan lancar.

“Buat masa ini, proses penilaian sedang dilakukan dan akan ada perbincangan lanjut.

“Saya yakin, berdasarkan semangat kerjasama ini, semuanya akan dapat diselesaikan,” katanya.

Baru-baru ini dilaporkan bahawa Bintulu Port Sdn Bhd telah menandatangani perjanjian sementara dengan Kementerian Pengangkutan dan Lembaga Pelabuhan Bintulu bagi melanjutkan operasinya di pelabuhan tersebut untuk tempoh 12 bulan lagi.

Lanjutan tempoh itu berkuat kuasa dari 1 Januari hingga 31 Disember 2025 atau sehingga Akta Pembatalan Pengisytiharan Kawasan Pelabuhan Persekutuan di Daerah Bintulu 2024 serta Akta Pembubaran Lembaga Pelabuhan Bintulu 2024 dikuatkuasakan, mana-mana dahulu.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU