IGAN: Isu status pemilikan tanah dikenal pasti antara cabaran utama yang menghalang pelaksanaan pembangunan secara menyeluruh di kawasan rumah panjang Sungai Ilas, terutamanya di Rumah (Rh) Lang dan Rh Mission.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya berkata, perkara itu menjejaskan usaha kerajaan untuk membawa kemudahan asas dan prasarana kepada penduduk setempat.


“Masalah timbul apabila sebahagian besar kawasan penempatan sedia ada, termasuk tapak rumah panjang dan balai raya, didapati bukan berstatus tanah kerajaan, sebaliknya dimiliki oleh individu tertentu yang kebanyakannya melibatkan waris turun-temurun sehingga tiga generasi.
“Keadaan ini menyukarkan pelaksanaan sebarang projek pembangunan kerana mengikut peraturan dan prosedur sedia ada, kemudahan awam hanya boleh dibina di atas tanah milik kerajaan bagi mengelakkan sebarang pertikaian pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada rumah panjang sekitar Sungai Ilas di Rh Lang, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Juanda yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng memberitahu, penduduk di situ tidak menyedari bahawa tanah yang didiami selama puluhan tahun sebenarnya bukan milik rumah panjang, sebaliknya hasil transaksi lama yang dilaksanakan sejak zaman nenek moyang mereka.
Jelasnya, apabila cadangan pembinaan balai raya dikemukakan, mereka baru mengetahui tanah tersebut milik individu lain dan sekiranya pembangunan dilaksanakan di atas tanah berkenaan, terdapat risiko kemudahan itu dituntut atau diambil semula pada kemudian hari.


“Alhamdulillah, tanah tersebut kini sudah menjadi milik kerajaan negeri dan penduduk rumah panjang berkenaan tidak perlu bimbang terhadap sebarang tuntutan pemilikan pada masa hadapan.
“Perkara ini juga telah dipersetujui oleh Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
“Dengan status terbaharu ini, semua urusan berkaitan tanah hanya melibatkan kerajaan tanpa pelibatan pihak ketiga, sekali gus menjamin keselamatan penempatan penduduk,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Juanda menegaskan komitmen beliau untuk terus bekerjasama rapat dengan Jabatan Tanah dan Survei bagi memastikan status tanah di Sungai Ilas diselesaikan sepenuhnya demi kesejahteraan penduduk.
Tambahnya, dengan penyelesaian isu tanah sebagai asas utama, segala bentuk pembangunan fizikal dan sosial diyakini dapat dilaksanakan secara lebih terancang di kawasan tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut menyaksikan penyerahan projek siap naik taraf titian dari kawasan parkir ke rumah panjang Sungai Ilas serta penyerahan tapak projek bagi kerja-kerja menaik taraf titian belian di kawasan sama.
Beliau juga menyampaikan tiga cek MRP kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rh Lang, Rh Raya dan Rh Mission dengan jumlah keseluruhan RM13,000.




