ARTIKEL

Fatimah bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Sehenti bagi Menangani Isu Dadah dan Substans Bilangan 1, 2025, di sini, hari ini.

Isu penyalahgunaan dadah, bahan terlarang membimbangkan di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Isu penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang di Sarawak terus menjadi kebimbangan utama apabila sejumlah 33,115 tangkapan direkodkan dalam tempoh tiga tahun, dari 2022 hingga 2024.

Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti, Datuk Sri Fatimah Abdullah, berkata statistik tersebut adalah hasil operasi bersepadu yang dilaksanakan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Sarawak.

“Bagi tahun 2024 sahaja, sebanyak 8,389 operasi penguatkuasaan dijalankan di seluruh negeri, yang membawa kepada 11,408 tangkapan.

“Daripada jumlah itu, seramai 527 individu ditahan kerana mengedar dadah, manakala 1,829 ditahan atas kesalahan memiliki bahan terlarang.

“Selain itu, 9,052 individu disaring positif menerusi ujian air kencing,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Sehenti bagi Menangani Isu Dadah dan Substans Bilangan 1, 2025, di sini hari ini.

Menurut Fatimah, walaupun angka tersebut hanya mewakili kira-kira 1.32 peratus daripada populasi Sarawak, kesannya terhadap masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar, amat membimbangkan.

“Kekurangan akses kepada pusat rawatan dan pemulihan serta kehadiran terhad agensi penguat kuasa menjadikan komuniti luar bandar lebih terdedah kepada risiko penyalahgunaan dadah,” ujarnya.

Jelas beliau, terdapat tujuh daerah dikenal pasti sebagai kawasan panas dengan jumlah tangkapan melebihi 500 kes, memerlukan tindakan segera dan berterusan daripada kerajaan serta agensi penguatkuasaan.

“Daerah Kuching mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu 3,280 kes, diikuti Sibu (1,226), Miri (1,140), Bintulu (927), Samarahan (626), Sarikei (562) dan Limbang (505).

“Pemetaan ini bukan sekadar mengenal pasti kawasan berisiko tinggi, malah penting untuk perancangan strategik melibatkan pengagihan sumber dan kehadiran penguat kuasa, terutama di kawasan yang sering terpinggir dari segi akses rawatan, pemulihan dan pendidikan pencegahan,” katanya.

Fatimah turut menegaskan bahawa usaha tersebut adalah sebahagian daripada pendekatan menyeluruh Kerajaan Negeri Sarawak menerusi Pelan Tindakan 2025, yang memberi fokus kepada pelaksanaan tindakan secara sistematik, holistik dan bersepadu.

“Pelan ini dibangunkan berdasarkan kajian terperinci dan berfungsi sebagai kerangka kerja menyeluruh dalam membanteras penyalahgunaan dadah.

“Namun, tanggungjawab ini bukan hanya terletak di bahu agensi kerajaan. Ia memerlukan penglibatan semua lapisan masyarakat — ibu bapa, pendidik, pemimpin komuniti, serta pertubuhan bukan kerajaan,” tegasnya.

Dalam mesyuarat yang sama, turut dibincangkan ialah cadangan penubuhan pusat pemulihan persendirian sebagai pelengkap kepada fasiliti rawatan sedia ada, bertujuan memperluaskan akses kepada program pemulihan serta memberikan lebih banyak pilihan kepada individu yang memerlukan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU