KUALA LUMPUR: Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia–Indonesia (ISWAMI Malaysia) menggesa tindakan menyeluruh dan berkesan bagi menangani ancaman jerebu rentas sempadan yang menjejaskan kualiti udara di Malaysia susulan kebakaran hutan dan tanah di beberapa kawasan di Indonesia.
Pemangku presidennya, Datuk Ahmad Zaini Kamaruzzaman dalam kenyataannya berkata, jerebu bukan sekadar isu alam sekitar, sebaliknya turut membabitkan kesihatan awam, kesejahteraan rakyat serta tanggungjawab bersama negara serantau.
Beliau berkata isu yang berulang itu memerlukan penyelesaian jangka panjang dan tidak seharusnya hanya ditangani menerusi langkah kecemasan apabila keadaan semakin buruk.
Sehubungan itu, ISWAMI Malaysia menggariskan lima keutamaan bagi menangani ancaman berkenaan, termasuk melindungi kesihatan rakyat menerusi pemantauan kualiti udara, penyampaian maklumat yang tepat serta nasihat kesihatan, khususnya kepada golongan berisiko.
Orang ramai juga disaran sentiasa merujuk bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) dan mengikuti nasihat pihak berkuasa bagi mengambil langkah perlindungan yang bersesuaian.
Keutamaan kedua ialah memperkukuh usaha pencegahan dan penguatkuasaan di Indonesia, termasuk mempergiat operasi pemadaman kebakaran, mencegah pembakaran terbuka serta mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang melanggar undang-undang.
ISWAMI Malaysia turut menekankan kepentingan kerjasama lebih erat antara Malaysia dengan Indonesia melalui perkongsian data titik panas, pemantauan pergerakan asap, pertukaran maklumat serta bantuan teknikal dan operasi pemadaman kebakaran apabila diperlukan.
Selain itu, komitmen ASEAN dalam aspek pencegahan, kesiapsiagaan dan tindak balas kecemasan perlu diperkukuh bagi merealisasikan matlamat rantau bebas jerebu.
Dalam masa sama, beliau menegaskan kepentingan pelaporan media yang tepat, berimbang dan bertanggungjawab dengan mengutamakan fakta, pandangan pakar serta suara masyarakat yang terjejas.
Media juga perlu mengelakkan naratif yang menyalahkan keseluruhan rakyat sesebuah negara kerana isu berkenaan memerlukan pendekatan berasaskan fakta, persefahaman dan kerjasama serantau.
Ahmad Zaini berkata hubungan erat Malaysia dan Indonesia seharusnya menjadi asas untuk membincangkan isu jerebu secara terbuka dan matang tanpa mengetepikan kepentingan rakyat kedua-dua negara.
Beliau berkata rakyat Malaysia dan Indonesia berhak menikmati udara bersih serta persekitaran yang selamat.
“Jerebu rentas sempadan tidak boleh terus dianggap sebagai masalah bermusim tanpa penyelesaian jangka panjang yang berkesan dan boleh diukur,” katanya.
Beliau berkata ISWAMI Malaysia yakin kerjasama yang ikhlas, akauntabiliti yang jelas dan tindakan berkesan mampu memastikan ancaman jerebu tidak terus berulang sehingga menjejaskan kehidupan rakyat serta kelestarian alam sekitar.

