SERIAN: Kerajaan Sarawak komited memperkasa pengurusan sektor perikanan laut negeri menerusi penubuhan Jabatan Perikanan Sarawak.
Menteri Industri Makanan, Komoditi dan Pembangunan Wilayah (MFICORD) Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom berkata, jabatan berkenaan akan berperanan mengawal selia serta memajukan industri perikanan laut dalam di negeri ini.
Menurut beliau, langkah tersebut selaras dengan kuasa yang diberikan kepada Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk bidang kuasa mengeluarkan lesen perikanan laut dalam bagi kategori C2.
“Kita kini mempunyai kuasa untuk mengeluarkan lesen C2. Itu adalah antara tuntutan awal di bawah MA63 yang telah pun diberikan kepada negeri.
“Namun, walaupun lesen boleh dikeluarkan tanpa had kita masih belum melihat impak yang besar kerana kekangan kapasiti untuk menjalankan operasi secara meluas,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan Lawatan Kerja ke Ladang dan Kilang Pemprosesan Susu A2 di Ladang Ecofarm Solutions, Kampung Panchor di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Dr Stephen Rundi memberitahu setakat ini sebanyak dua lesen C2 telah dikeluarkan namun operasi sebenar masih belum berjalan sepenuhnya susulan kesukaran memperoleh kapal yang sesuai.
Katanya, syarikat tempatan tidak dibenarkan membeli kapal dari negara tertentu atas faktor keselamatan sekali gus menyebabkan pengusaha terpaksa membina kapal sendiri atau mencari sumber alternatif.
“Jadi kita berharap dengan penubuhan jabatan baharu nanti kita akan mempunyai mekanisme yang lebih baik untuk mengawal selia serta membantu golongan ini,” katanya.
Beliau menambah, Sarawak mempunyai potensi besar dalam industri perikanan memandangkan negeri ini memiliki garis pantai sepanjang hampir 1,000 kilometer yang masih belum dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kita ada potensi yang sangat besar. Negeri jiran seperti Brunei juga menyedari potensi ini walaupun garis pantainya lebih pendek,” katanya.
Justeru beliau menjelaskan, Kerajaan Sarawak berhasrat untuk bergerak lebih pantas sebaik sahaja jabatan tersebut ditubuhkan.
“Langkah ini penting bagi memastikan hasil laut Sarawak dapat dimanfaatkan oleh pemain industri tempatan tanpa bergantung kepada pihak luar,” katanya.
Beliau berkata, perkembangan lanjut mengenai hala tuju industri perikanan laut dalam Sarawak akan diperincikan menjelang pertengahan tahun ini.


