ARTIKEL

Jabatan Hutan Sarawak Nafi Dakwaan ‘Elak Aktivis’ di Jepun

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Jabatan Hutan Sarawak (FDS) menafikan sekeras-kerasnya dakwaan dua artikel diterbitkan oleh The Borneo Project dan Bruno Manser Fonds pada 12 November 2025 yang mendakwa kerajaan Sarawak mengelak aktivis Orang Asal ketika berada di Jepun.

Menurut FDS, delegasi jabatan itu menghadiri Osaka Metropolitan University (OMU) atas undangan rasmi untuk membentangkan hasil penyelidikan bersama National Institute for Environmental Studies (NIES) Jepun kepada pensyarah, penyelidik, saintis dan pelajar.

“Seminar akademik tersebut berlangsung seperti dijadualkan pada 12 November dan dihadkan kepada pensyarah, penyelidik, saintis serta pelajar OMU.

“Kami dimaklumkan cubaan aktivis, termasuk Lerroy Lemen dari KERUAN, untuk mendaftar atas nama Japan Tropical Forest Action Network (JATAN) ditolak penganjur kerana mereka bukan peserta akademik yang layak,” ujar FDS.

FDS bagaimanapun menegaskan bahawa cubaan pihak aktivis untuk mencetuskan persepsi negatif jelas bermotifkan agenda tertentu.

“Mereka mahu mengaitkan dakwaan pembalakan yang tidak relevan dengan sifat akademik seminar tersebut.

“Selepas pendaftaran mereka ditolak oleh penganjur Jepun, mereka mengadakan sidang media sendiri semata-mata untuk menarik perhatian,” ujar jabatan itu.

FDS turut menjelaskan bahawa isu lesen pembalakan kepada Borneoland Timber Resources kini dalam proses semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Miri.

“Sebarang ulasan lanjut boleh dianggap subjudis serta menjejaskan prosiding mahkamah.

“Komuniti di Ulu Baram melalui ketua masyarakat masing-masing telah menyatakan sokongan pembangunan seperti jalan perhubungan, infrastruktur asas dan projek pembangunan mampan,” ujar FDS.

FDS juga menolak dakwaan wakil Penan KERUAN, Lerroyy Lemen bahawa program di OMU dibatalkan saat akhir serta melahirkan rasa kesal terhadap kenyataan Pengarah SAVE Rivers, Celine Lim, yang mempertikaikan penganugerahan Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star kepada Premier, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari baru-baru ini.

Premier sebelum ini merakamkan penghargaan kepada Japan-Malaysia Association atas kerjasama kukuh sejak 1995 yang menyokong usaha pemulihan hutan, pembangunan komuniti dan pendidikan alam sekitar.

Dalam laporan tersebut, dua wakil masyarakat Orang Asal dari SAVE Rivers dan wakil Penan KERUAN telah mengadakan sidang media di Osaka pada hari yang sama untuk mengecam sokongan Jepun terhadap projek hutan yang didakwa berkait dengan penebangan hutan dan isu hak komuniti di Sarawak.

Mereka mendakwa hadir ke Jepun bagi menghadiri satu seminar bertajuk ‘Strengthening Forest Management in Sarawak through Monitoring and Innovation’ yang dijangka dibentangkan oleh Pengarah Jabatan Hutan Sarawak, Hamden Mohamad.

Dalam kenyataan itu, kumpulan aktivis tersebut mendakwa seminar berkenaan dibatalkan pada saat akhir atas sebab pihak penganjur, walaupun Hamden didakwa kelihatan berada di kampus OMU pada hari program berlangsung.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU