KUCHING: Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) telah membuat persiapan bagi menghadapi sebarang kemungkinan jika berlaku banjir semasa pelajar menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), yang bermula hari ini hingga 7 Mac 2024.
Pengarah Pendidikan Sarawak Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, JPNS telah menentukan lokasi kawasan berisiko banjir.
“Justeru, kita telah menubuhkan jawatankuasa pengurusan bencana yang terdiri daripada pelbagai agensi persekutuan dan negeri untuk berjaga-jaga sekiranya banjir berlaku sepanjang tempoh peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) 2023 iaitu dari 30 Januari hingga 7 Mac ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menghadiri peperiksaan SPM hari pertama di Sekolah Seni Malaysia Sarawak, Daerah Salak Land, Jalan Sultan Tengah di sini hari ini.
Katanya, calon SPM yang tinggal di kawasan berisiko banjir juga diberi pilihan untuk tinggal di asrama, rumah saudara terdekat atau pusat terdekat dalam tempoh ini.
“Sekiranya sebarang bantuan atau maklumat diperlukan, calon, ibu bapa dan penjaga boleh menghubungi jabatan kami atau jabatan daerah pendidikan untuk bantuan atau pertanyaan,” katanya.
Azhar dalam masa yang sama juga mendedahkan bahawa tiada sekolah di Sarawak yang dinaiki air setakat ini.
Untuk rekod, peperiksaan SPM kali ini mempunyai lebih 35,000 calon berdaftar di 257 pusat peperiksaan di seluruh negeri.

