KUCHING: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyerahkan kuasa kepada Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) untuk meluluskan projek yang dibiayai oleh Kerajaan Sarawak.
Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) dalam kenyataan berkata, ia susulan selama ini kuasa bagi meluluskan projek terletak di bawah kuasa KPM walaupun ia dibiayai oleh Kerajaan Sarawak.
Menurut MEITD, perkara itu telah menyebabkan kelewatan dalam proses kelulusan serta pelaksanaan projek tersebut.
“Projek di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) Projek Kecil Luar Bandar (MRP) dan projek kecil lain yang diluluskan wakil-wakil rakyat tempatan telah ditangguhkan, dan ia amat mengecewakan.
“Bukan sahaja memberi kesan kepada ADUN tetapi juga kepada penerima manfaat projek seperti pelajar, ibu bapa dan guru serta institusi pendidikan lain kerana perwakilan kuasa kelulusan yang berpusat di Putrajaya ini.
“Justeru itu, dengan penyerahan kuasa ini masalah kelewatan kelulusan projek akan menjadi perkara lepas,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Di samping itu, kuasa juga diberikan kepada pengarah untuk meluluskan projek lain yang tidak dibiayai oleh Kerajaan Sarawak, tetapi dengan persetujuan terlebih dahulu daripada MEITD.
Ujarnya, inisiatif ini dianggap sebagai langkah besar ke hadapan oleh KPM hasil daripada beberapa perbincangan antara MEITD dan KPM di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) khususnya Perenggan 17 Laporan IGC 1962.
Pada masa sama katanya, MEITD telah mengemukakan beberapa perkara di bawah Perenggan 17 Laporan IGC, dan telah mencapai kejayaan besar, serta hal lain yang memerlukan perbincangan lanjut bukan sahaja dengan KPM tetapi Pihak Bersekutu Persekutuan.
Penyerahan kuasa tersebut disaksikan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek; Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Sri Roland Sagah Wee Inn, dan Timbalan Menteri Pendidikan dan Inovasi Datuk Dr Anuar Rapaee.

