Jadi rakan strategik bomba

BAU: Penubuhan Bomba Komuniti dalam kawasan kampung dapat membantu mencegah dan menangani kebakaran, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Khirudin Drahman @ Hussaini.

Jelasnya, ia satu wadah memberi kesedaran dan menyampaikan pengetahuan mengenai keselamatan kebakaran lebih berkesan kepada masyarakat terutamanya penduduk rumah panjang.

Katanya, program ini bukan sahaja membolehkan kesedaran keselamatan kebakaran disebar luas kepada pemimpin masyarakat, ia juga menjadi platform jabatan supaya lebih dekat kepada masyarakat.

Beliau berkata demikian menyempurnakan Majlis Pelancaran Penubuhan Bomba Komuniti Peringkat Daerah Bau Tahun 2019 dan Program Kolaborasi MFPA (Rakan Strategik) di sini, kelmarin.

Tambahnya, program yang diadakan di Bau itu disertai 300 peserta dari 30 kampung meliputi enam kawasan. “Ia termasuk kawasan Krokong, Serumbu, Jagai, Bau, Singgai dan Bratak.

“Bagaimanapun, atas kekangan masa dan kemudahan, program ini akan diadakan secara berperingkat-peringkat,” katanya. Beliau menjelaskan, pada 16 November lalu seramai 90 peserta terdiri daripada ketua kampung menghadiri program dengan jayanya.

Jelas beliau, program dua hari itu diisi dengan pelbagai aktiviti merangkumi kelas teori dan praktikal mengenai asas keselamatan.

“Peserta program juga diberi pendedahan merasai sendiri tugas sebagai anggota bomba dan menyarung sendiri baju api bomba serta memadam kebakaran melalui aktiviti simulasi,” jelasnya.

Beliau menyatakan, melalui aktiviti seumpama ini masyarakat lebih memahami tugas dan peranan JBPM kepada masyarakat. “Program seperti ini memberi kesan dan impak sangat baik kepada penghuni rumah panjang,” jelasnya.