KUCHING: Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (STIDC) menyambut baik pelantikan Pengurus Besarnya, Zainal Abidin Abdullah sebagai Pengerusi Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) bagi tempoh 2025 hingga 2027.
Menurut kenyataan rasmi STIDC hari ini, pelantikan ini mencerminkan keyakinan tinggi pihak industri terhadap kepimpinan serta kebolehan Zainal Abidin dalam membawa industri kayu negara ke tahap lebih tinggi.
“STIDC merakamkan setinggi-tinggi tahniah dan menyokong penuh pelantikan ini. Kami percaya kepimpinan beliau akan membawa manfaat besar kepada agenda kelestarian, inovasi dan daya saing industri kayu negara,” menurut kenyataan itu.
Zainal Abidin dalam ucapannya turut melahirkan keyakinan dengan masa depan industri kayu, sambil menekankan pentingnya kepimpinan strategik yang berteraskan pertumbuhan mampan dan inovasi.
“Harapan saya adalah untuk bekerjasama rapat dengan semua pihak berkepentingan bagi meningkatkan piawaian industri, mempromosi pengurusan hutan secara bertanggungjawab, serta memperluas akses pasaran di dalam dan luar negara,” katanya.
Beliau turut menyatakan komitmen untuk memperkukuh kerjasama merentasi rantaian nilai bagi menjadikan industri kayu lebih berdaya saing sambil menyeimbangkan keperluan ekonomi, sosial dan alam sekitar.
Mengulas mengenai kekuatan Sarawak dalam sektor ini, beliau berkata negeri ini mempunyai warisan dan sumber asli yang luas… boleh dimanfaatkan sepenuhnya.
“Dengan penggunaan teknologi canggih, penambahbaikan kecekapan rantaian bekalan, serta penerokaan pasaran baharu, kita mampu meningkatkan kualiti produk dan mempelbagaikan penawaran. Industri ini berpotensi menjadi penanda aras dalam amalan lestari dan sumbangan ekonomi,” tambahnya.
Zainal Abidin turut merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kerajaan Malaysia atas kepercayaan yang diberikan menerusi pelantikan ini.
STIDC dalam kenyataan sama turut menegaskan komitmen mereka untuk bekerjasama rapat dengan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) serta semua pihak industri bagi memastikan pembangunan mampan sektor kayu kekal sebagai penyumbang penting kepada ekonomi negeri dan negara.



