Jadikan kes Vernon sebagai iktibar

KUCHING: Kes saman fitnah Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas terhadap bekas Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak Vernon Kedit harus menjadi pengajaran kepada ahli-ahli politik.

Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Karim Rahman Hamzah berkata, ia merupakan langkah tepat yang dilakukan oleh mahkamah tidak kira mana-mana ahli politik untuk lebih berhati-hati dalam pertuturan mereka.

Katanya, ahli politik tidak seharusnya mengucapkan kata-kata berbaur fitnah dan berunsur hasutan sesuka hati kerana mereka harus mematuhi peraturan serta undang-undang.

“Kita mempunyai undang-undang yang harus dipatuhi.

Sekiranya kita mencabar peraturan tersebut, kita akan dikenakan tindakan.

“Vernon merupakan seorang peguam namun gagal memahami peraturan dan undang-undang,” ujarnya kepada pemberita selepas sidang media persiapan Sukma 2020 Johor, di Pusat Akuatik Pandelela Rinong, Petra Jaya semalam.

Uggah yang merupakan Adun Bukit Saban memfailkan kes saman fitnah pada 8 Ogos 2018 berikutan Vernon melabelkannya sebagai penipu dan pengkhianat menerusi kumpulan WhatsApp PKR State Media pada 12 Julai 2018.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Ravinthran N. Paramaguru mengarahkan Vernon membayar kos ganti rugi berjumlah RM200,000 dan kos guaman sebanyak RM40,000.