KUCHING: Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof mencadangkan kepada Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) untuk menjadikan rumah ibadah sebagai pusat pengumpulan minyak masak terpakai.
Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata ia alternatif bagi mendorong orang ramai untuk mengitar semula minyak masak selain hasil jualan tersebut boleh dijadikan dana untuk rumah ibadah.
“Minyak masak terpakai yang dikumpulkan itu dapat dijual di stesen minyak Petronas dan hasil jualan dapat disumbangkan kepada rumah ibadah atau melaksanakan program di kawasan jagaan JKKK.
“Ia bukan sahaja menambah pendapatan malah menjaga kebersihan di kawasan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Pengumpulan Minyak Masak Terpakai sempena Trek Komoditi Zon Sarawak di Dewan Masyarakat Kampung Tunku, di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Adun Satok Datuk Ibrahim Baki, Ketua Setiausaha Politik kepada Premier Saraaak yang juga Adun Tupong Fazzrudin Abdul Rahman dan Datuk Bandar Kuching Utara Hilmi Othman.

Mengulas mengenai program tersebut Fadillah berkata, beberapa stesen minyak Petronas telah terpilih sebagai Pusat Pengumpulan Minyak Masak Terpakai untuk memudahkan orang ramai menghantar dan menjual minyak masak terpakai.
Katanya, bermula daripada hanya tiga stesen minyak Petronas di kawasan Lembah Klang sebagai pusat pengumpulan minyak masak terpakai, kini pusat pengumpulan tersebut telah diperluaskan ke 33 stesen minyak Petronas di Semenanjung Malaysia.
“Setakat ini di Sarawak terdapat dua lokasi stesen minyak Petronas yang terlibat
iaitu Stesen Petronas Astana, Kuching dan stesen Petronas Desa Senadin, Miri.
“Program ini akan terus diperluaskan ke stesen-stesen Petronas yang terpilih di
seluruh negara secara berperingkat,” ujarnya.
Dengan perluasan ini, beliau berkata, Kementerian Perladangan dan Komoditi menyasarkan jumlah pengumpulan sebanyak 90,000 kilogram dan penyertaan seramai 6,960 orang awam sehingga akhir bulan Disember 2023.
Tambahnya lagi, kementeriannya menyasarkan perluasan ke 50 stesen minyak Petronas di seluruh negara pada tahun 2024 dengan sasaran jumlah pengumpulan sebanyak 528,000 kilogram dan penyertaan seramai 40,368 orang awam.

