Jadikan Sarawak kuasa sukan

ASAJAYA: Kerajaan Sarawak sentiasa komited untuk membangunkan sukan di negeri ini.

Pelbagai program dan pertandingan telah dianjurkan oleh Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS).

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah menjelaskan, Sarawak pernah menjadi kuasa sukan suatu ketika dahulu, terutama Sukan Malaysia (Sukma).

Sarawak pernah muncul juara Sukma pada 1990, 1992 dan 1994 serta beberapa tahun muncul sebagai naib juara.

Malah sehingga sekarang, Sarawak merupakan antara pencabar utama temasya sukan golongan belia.

“Kita mahu kekal sebagai antara kuasa sukan di negara ini, malah kita akan berusaha untuk muncul sebagai kuasa sukan seperti yang pernah kita lakukan sebelum ini.

“Oleh itu, usaha berterusan SSC dan MSNS mampu merealisasikannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Karnival Sukan Program Pencarian Bakat Baharu 2020 di Dewan Pejabat Daerah Asajaya semalam.

Hadir sama ialah Pemangku Setiausaha Tetap Kementerian Belia dan Sukan Sarawak, Nancy Jolhi, Pengarah MSNS, Dr Ong Kong Swee dan Pegawai Daerah Asajaya, Rais Ahmat.

Terdahulu beliau mengakui, penganjuran karnival sukan berkenaan sebagai landasan terbaik untuk mencari atlet baharu berbakat. “Ia akan menjadi lubuk untuk kita mencari atlet bagi menyertai Sukma akan datang.

Kita percaya ramai atlet baharu yang berbakat dikenal pasti sepanjang berlangsung karnival tersebut,” ujarnya.

Beberapa acara sukan dipertandingkan sepanjang karnival berkenaan seperti sepak takraw, futsal, badminton, ESports dan bola keranjang. Selain Sukma, Sarawak juga merupakan bekas gergasi bola sepak Malaysia.

Pernah menjuarai Liga Perdana 1997 dan 2013. Malah pernah menjuarai Piala FA 1992 dan Piala Sumbangsih 1998. Sarawak juga pernah ke final Piala Malaysia 1999.

Malah Sarawak juga mempunyai atlet bertaraf dunia seperti Pandelela Rinong (terjun) dan Buda Anchah (bina badan).

Suara Sarawak