Jadikan Sarawak peneraju PPSMI

KOTA SAMARAHAN: Kajian menyeluruh punca kegagalan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) perlu dilakukan sebelum ia dilaksanakan di seluruh negara.

Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Dr Annuar Rapaee berkata, ia untuk mengenal pasti masalah yang dihadapi dalam PPSMI yang pernah dilaksanakan pada suatu ketika dahulu.

“Setelah kita tahu punca masalahnya, maka kita dapat mengatasi masalah tersebut atau kita boleh mencontohi apa-apa yang ada di negeri Sarawak pada ketika ini,” katanya.

Dr Annuar berkata demikian kepada media selepas menghadiri Syarahan Perdana Kisah Patologi dan Kanser oleh Profesor Dr Mohammad Zulkarnaen Ahmad Narihan di Pusat Islam Tun Salahuddin (Pitas) di sini, semalam.

Pada masa yang sama kata Dr Annuar, walaupun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad ingin melaksanakan PPSMI di seluruh negara, namun beliau mendapat tentangan terhadap pelaksanaan program tersebut.

Sementara itu Annuar juga memberitahu, laporan awal tentang keberkesanan pelaksanaan PPSMI akan diterima awal bulan ini.

“Laporan awal tersebut adalah untuk mengenal pasti dan memantau masalah yang timbul selepas sebulan pelaksanaan PPSMI. “Walaupun kita telah agihkan buku dan bahan sejak pelaksanaan program ini bermula Januari lalu, namun berkemungkinan masih ada masalah dalam perkara tersebut.

“Dengan itu, kita dapat mengatasi masalah di peringkat awal,” katanya. Pemantauan terhadap keberkesanan pelaksanaan PPSMI akan dijalankan selama setahun, ujarnya lagi. “Kita mahu program ini berjaya dan menjadikan Sarawak negeri contoh untuk menerajui PPSMI,” jelasnya lagi.

Menurut Dr Annuar lagi, Kerajaan Sarawak telah membelanjakan RM11 juta untuk melaksanakan program PPSMI terutamanya untuk membekalkan buku, bahan pembelajaran dan kursus kepada lebih 2,000 guru yang mengajar murid Tahun Satu.

“Pada tahun ini, kita hanya melaksanakan PPSMI untuk murid Tahun Satu. Kemudian kita boleh laksanakan untuk murid Tahun Dua dan seterusnya,” tambahnya.

Terdahulu, Dr Mahathir dalam mesyuarat khas kementeriannya dilaporkan meneliti kembali PPSMI yang pertama kali diperkenalkan pada 2003 semasa beliau memegang jawatan Menteri Pendidikan.

Bagaimanapun, perkara tersebut mencetuskan perdebatan pelbagai pihak, antaranya melibatkan bekas Timbalan Menteri Pendidikan P Kamalanathan yang mencadangkan agar program itu diteliti lebih lanjut sebelum dilaksanakan.

Suara Sarawak