ARTIKEL

Jadikan SEDC Pemacu Utama Pembangunan Ekonomi Masa Depan Negeri

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Rang Undang-Undang (RUU) Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026 adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam memperkukuh institusi pembangunan ekonomi agar lebih moden, dinamik dan berdaya saing di peringkat global.

Timbalan Premier, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, pindaan tersebut dirangka bagi meletakkan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) sebagai pemacu utama pembangunan ekonomi masa depan negeri.

Menurut beliau, antara perubahan utama dicadangkan ialah penukaran nama ordinan prinsipal kepada Ordinan Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak.

“Walaupun dilihat sebagai perubahan kecil, langkah tersebut sebenarnya membawa makna besar dari sudut identiti, kejelasan dan pengiktirafan institusi.

“Ia menyelaraskan undang-undang dengan nama yang sudah lama digunakan secara meluas di peringkat tempatan dan antarabangsa, sekali gus memperkukuh kredibiliti institusi tersebut.

“Jika kita mahu perbadanan ini bersaing, melabur dan memacu pertumbuhan ekonomi, maka kita perlu memastikan ia mempunyai kejelasan undang-undang dan fleksibiliti untuk melaksanakan peranan tersebut secara berkesan,” katanya.

Uggah yang juga Menteri Kewangan dan Ekonomi Baharu Kedua berkata demikian ketika membentangkan RUU Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (Pindaan) 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut ujarnya, RUU tersebut turut mengemas kini beberapa definisi penting selaras dengan amalan tadbir urus moden. Antaranya penggantian jawatan ‘Pengurus Besar’ kepada ‘Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan’ yang mencerminkan realiti semasa organisasi itu.

“SEDC hari ini bukan lagi sebuah entiti tunggal tetapi organisasi kompleks yang menguruskan pelbagai anak syarikat dan kepentingan komersial.

“Perubahan ini menghantar mesej jelas bahawa perbadanan serius dalam mengadaptasi standard global, meningkatkan profesionalisme dan memperkukuh keyakinan pelabur serta rakan strategik,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata pindaan tersebut turut memperkenalkan definisi rasmi bagi jawatan setiausaha yang sebelum ini tidak diperjelaskan secara khusus walaupun sering dirujuk dalam ordinan sedia ada.

“Pindaan turut melibatkan penyusunan semula keanggotaan perbadanan bagi memastikan kepakaran yang lebih luas dapat dibawa masuk ke dalam organisasi tersebut.

“Skop keanggotaan yang diperluas kepada ‘bidang berkaitan lain’ membolehkan SEDC mendapatkan lebih ramai pakar dalam pelbagai bidang sejajar dengan keperluan landskap ekonomi moden yang semakin kompleks,” jelasnya.

Tegasnya, transformasi ekonomi Sarawak tidak boleh dicapai hanya melalui slogan dan retorik semata-mata, sebaliknya memerlukan keberanian melakukan perubahan undang-undang dan institusi sedia ada.

BERITA LAIN

Sarawak Tubuh Jawatankuasa Khas Perkasa Start-up dan PMKS

KUCHING: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaras pelibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasa pembangunan perniagaan pemula (start-up) serta perusahaan mikro, kecil

BERITA TERBARU

Sarawak Tubuh Jawatankuasa Khas Perkasa Start-up dan PMKS

KUCHING: Sebuah jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaras pelibatan sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam memperkasa pembangunan perniagaan pemula (start-up) serta perusahaan mikro, kecil