Jadikan sungai kita Venice di timur

SEJAK kewujudan manusia di muka bumi, sungai memainkan peranan penting dalam kehidupan. Malah ia dianggap sebagai nadi keperluan.

Ia bukan sahaja membekalkan air untuk keperluan harian, tetapi juga membekalkan makanan seperti pelbagai spesies ikan, udang, ketam, kerang dan seumpamanya. Malah sungai juga menjadi ‘gelanggang’ permainan yang menyeronokkan.

Manusia menggunakan air untuk pelbagai tujuan seperti minuman dan kegunaan domestik. Oleh itu, bekalan air sangat penting. Sungai juga merupakan tempat tarikan pelancong, sama ada dari dalam atau luar negara.

Sering kali sungai dikaitkan dengan pencemaran ekoran aktiviti manusia itu sendiri dan mengakibatkan airnya keruh seperti teh tarik dan hidupan-hidupan sungai juga mati kerana kurang oksigen.

Aktiviti perindustrian di hulu sungai misalnya, dilepaskan ke sungai mengakibatkan air di kawasan hilir ataupun muara tercemar.

Semasa PKP, Sungai Melaka menjadi perbualan warganet kerana telah bertukar jernih dan kehijauan kerana kurang pergerakan manusia, bot dalam tempoh itu. Memetik beberapa laporan media tempatan, dahulunya Sungai Melaka itu kotor, hitam dan mengeluarkan bau yang tidak menyenangkan.

Kini gambaran itu telah berubah kerana Sungai Melaka sedang pulih daripada kesan aktiviti manusia dan tidak keterlaluan mengatakan Sungai Melaka bakal dikenali sebagai Venice di timur, sungai popular di Itali.

 

Sudah semestinya agensi-agensi kerajaan mahupun NGO berusaha sedaya upaya mereka untuk menyelamat serta memulihara sungai-sungai ini daripada terus tercemar. Orang awam juga harus bertindak sewajarnya dengan tidak membuang bahan buangan ke dalam sungai.

Jangan beranggapan bahawa kerja-kerja pemuliharaan dan pemeliharaan sungai ini adalah tugas dan tanggungjawab agensi yang berkaitan kerana memulihara dan menjaga sungai juga adalah tanggungjawab kita bersama.

Oleh itu pendidikan awal mengenai alam sekitar, terutama sungai amatlah penting untuk generasi baharu, terutama di peringkat tadika dan sekolah rendah. Mereka perlu didedahkan dengan kepentingan sungai terhadap manusia, haiwan dan semua kehidupan di muka bumi.

Kesedaran tinggi dan pengetahuan tentang penjagaan sungai dalam kalangan masyarakat kita memainkan peranan penting untuk memastikan sungai sentiasa bersih. Di samping itu, pihak berkuasa juga perlu menguatkuasakan undang-undang, bahawa mereka yang terbabit dengan pencemaran sungai hendaklah menerima hukuman yang setimpal.

Misalnya denda atau penjara. Ia penting sebagai pengajaran kepada pesalah dan peringatan kepada kita semua. Kepentingan sungai bukan sahaja untuk generasi sekarang, tetapi juga untuk generasi akan datang.

Penjagaan yang baik sekarang ini amat penting agar generasi selepas ini melakukan perkara yang sama untuk generasi keberikutnya. Tidakkah kita berasa cemburu melihat sungai-sungai seperti di Venice, Itali, Sungai Amstel di Belanda atau Sungai Han di Korea yang jernih dan menarik ribuan pelancong.

Justeru, hargai dan cintailah sungai-sungai kita, air yang jernih dan mengalir dengan deras dan lancar menggambarkan sifat pembersih rakyat kita.

Suara Sarawak